[VIDEO] ‘Siapa yang mulakan cerita Langkah Dubai?’ - Tuan Ibrahim

A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas tindakan sesetengah pihak yang menuduh Perikatan Nasional (PN) memulakan gerakan menggulingkan kerajaan menerusi Langkah Dubai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebarang tindakan perlu diambil kepada pihak yang mencetuskan dakwaan tersebut sehingga ia menjadi bahan bualan di media sosial.

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM

“Sibuk dalam media sosial bercakap tentang Langkah Dubai, ada laporan polis bersama desakan untuk mengambil tindakan dan sebagainya.

“Saya ingin bertanya siapakah yang memulakan cerita Langkah Dubai? Bukankah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang memulakan isu ini?

“Sepatutnya ambil tindakan terhadap mereka yang memulakan cerita ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa ‘Langkah Dubai’ timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut turut disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa ia turut membabitkan beberapa individu daripada blok kerajaan.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 43 laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diterima.