Langkah Dubai: Polis terima 75 laporan

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 75 laporan diterima berkaitan gerakan 'Langkah Dubai' yang didakwa bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua laporan berkenaan dibuat oleh 31 wakil serta ahli politik manakala 44 lagi melibatkan orang awam.

"Kesemua jumlah terbabit diterima berdasarkan laporan di seluruh negara setakat jam 7 pagi.

"Polis akan memanggil individu terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dijalankan di bawah Seksyen 124C dan 505 (B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, laporan polis dibuat berdasarkan tular rakaman video tiga atau empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Jelas beliau, susulan penularan video itu, pihak polis perlu melakukan siasatan kerana perkara itu mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan mengganggu ketenteraman awam.

Selain itu, tambah beliau, polis turut menyiasat mengenai dakwaan bahawa beberapa ahli Parlimen dibayar untuk menyokong pertukaran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan terdapat gerakan yang dinamakan 'Langkah Dubai' untuk menjatuhkan Anwar, yang didakwa dirancang dan didalangi pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan ketika bercuti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).