[VIDEO] Langkah Dubai tidak akan jadi realiti - Ahmad Zahid

A
A
A

KOTA TINGGI - Langkah Dubai tidak akan menjadi realiti kerana Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 150 ahli Parlimen ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Akta Lompat Parti yang masih berkuat kuasa memungkinkan Langkah Dubai tidak berlaku.

"Walaupun ada ketua pemuda sebuah parti politik menyatakan bahawa dokumen sokongan lima ahli Parlimen kepada PMX sebelum ini boleh dijadikan asas untuk menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri yang baharu, saya berpandangan itu tidak akan berlaku.

"Ini kerana kita (Kerajaan Perpaduan) ada 150 Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan PMX. Maka saya fikir eloklah mereka yang mempunyai angan-angan besar jadi PM atau partinya akan melonjakkan seseorang jadi PM, supaya jangan lagi buang masa," katanya.

Ahmad Zahid (tengah) pada sidang akhbar selepas taklimat banjir Kota Tinggi dan meninjau PPS SK Taman Kota Jaya pada Selasa.
Ahmad Zahid (tengah) pada sidang akhbar selepas taklimat banjir Kota Tinggi dan meninjau PPS SK Taman Kota Jaya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat banjir Kota Tinggi dan meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta Ahli Parlimen pembangkang agar belajar daripada pengalaman lepas dan menunggu pilihan raya umum akan datang untuk menukar kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat sudah muak. Belajar daripada pengalaman satu penggal tiga Perdana Menteri yang lalu.

"Kalau mahu atau bercita-cita untuk menebuk atap pun, tebuklah atap itu apabila sampai masanya iaitu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Ketika itu tebuklah seluas-luasnya. Insya- ALLAH mereka tidak akan turun ke rumah yang ditebuk atap itu," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan penyerahan sistem penapisan mudah alih di Sungai Bang.

Media sebelum ini melaporkan mengenai Langkah Dubai yang didakwa dirancang segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Bagaimanapun selepas itu, Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama akuan bersumpah (SD) masing-masing.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta ahli Parlimen pembangkang tidak terus menjejaskan keyakinan pelabur asing dengan tindakan mereka.

"Saya mahu ahli Parlimen yang kononnya taat setia kepada negara, mereka mesti mendukung apa yang dilakukan PMX untuk mendapat keyakinan pelabur asing.

"Jangan jejaskan keyakinan itu dengan mengatakan kerajaan yang ada sekarang goyah dan mahu bertukar," ujarnya.