Tindakan Koo Ham kaitkan Bersatu, Pas tidak bertanggungjawab

Datuk Seri Hamzah Zainudin. Photo: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
Datuk Seri Hamzah Zainudin. Photo: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengaitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam insiden kebakaran di kediamannya adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada menuduh orang lain, pemimpin DAP itu sepatutnya insaf di atas kenyataan sebelum ini yang mencampuri urusan agama Islam.

“Perkara ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Semua perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebegini agar berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan, apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif.

“Kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Media melaporkan, Koo Ham percaya perbuatan khianat membakar kediaman di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar berpunca daripada cadangan pakar bukan Islam perlu dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau mengesyaki serangan tersebut mempunyai kaitan dengan kenyataannya sebelum ini dan percaya pelaku terbabit tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

Hamzah turut menegaskan bahawa perbuatan khianat pihak tertentu membaling ‘molotov cocktail’ ke kediaman Koo Ham tersebut tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Polis perlu segera memburu dalang sebenar itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” ujarnya.