Rasuah KFA: Sanusi sahkan belum dipanggil SPRM

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah melibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) setakat Rabu.

Beliau berkata, kenyataan SPRM yang menyebut akan memanggil beliau untuk diambil keterangan hanya diketahui melalui laporan media.

Menurutnya, keberadaan beliau di ibu negara pada Rabu tiada kaitan dengan kes berkenaan.

“Saya pun dapat tahu yang saya akan dipanggil SPRM untuk diambil keterangan kes tersebut melalui laporan media, itu pun dibaca secara online.

“Saya berada di sini (Kuala Lumpur) pun kerana perlu hadir program parti,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Selasa, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim memaklumkan SPRM akan memanggil Menteri Besar Kedah itu untuk membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM6 juta membabitkan persatuan bola sepak negeri itu.

Beliau bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

Sumber memaklumkan siasatan membabitkan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Siasatan mendapati mereka dijanjikan projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan sekiranya menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak terbabit.

Namun selepas dana disalurkan ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.

Pada Isnin, Sanusi menegaskan bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi memperjelaskan kedudukan sebenar KFA yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu kesal apabila SPRM didakwa menghukum sesuka hati melalui media masa.

“Agensi kerajaan itu sekarang telah berubah menjadi penghukum orang lain bagi pihak tertentu yang memiliki kuasa.

“Umum mengetahui semua persatuan bola sepak dan persatuan sukan bergantung kepada sumbangan kerajaan, syarikat swasta, individu atau peminat sukan. Situasi ini sama saja di semua negeri atau dunia,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan juga seharusnya menjurus kepada individu yang melobi untuk mendapatkan projek, bukan hanya bertumpu kepada empat individu yang direman Jumaat lalu.

“SPRM ada siasat tak individu yang melobi syarikat bagi dapatkan konsesi rawatan air itu, bukan hanya siasat KFA atau empat orang itu.

“Apabila syarikat yang dapat konsesi rawatan air tiga tahun lalu, cuba lobi kerajaan negeri supaya lanjutkan tempoh konsesi, namun kita tak sambung, kita tak tahu apa yang dia janji kepada syarikat itu,” jelasnya.

Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan konsesi yang tamat tahun lalu tidak dilanjutkan bagi membolehkan ia diurus sepenuhnya oleh agensi negeri.