Sindiket pecah rumah didalangi warga tempatan, Amerika Latin tumpas

Mohd Shuhaily (dua, kanan) menunjukkan barangan yang dirampas susulan tangkapan enam individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pecah rumah di sekitar Selangor dan Johor.
Mohd Shuhaily (dua, kanan) menunjukkan barangan yang dirampas susulan tangkapan enam individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pecah rumah di sekitar Selangor dan Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Menyamar sebagai penghantar barang selain menyasarkan rumah yang tiada penghuni antara taktik digunakan sekumpulan individu termasuk dua lelaki warga Colombia untuk menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar Selangor dan Johor.

Aktiviti didalangi enam individu itu bagaimanapun terbongkar selepas kesemua suspek diberkas menerusi tangkapan dan rampasan pelbagai barangan melibatkan nilai RM1.9 juta yang dijalankan sekitar Lembah Kelang pada 3 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek diberkas menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D4 Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Antara diberkas melibatkan dua lelaki warga Colombia, dua wanita dan dua lelaki warga tempatan berumur antara 45 hingga 62 tahun.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 18 kes iaitu sembilan kes di Selangor dan sembilan kes di Johor dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,918,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Serbuan dijalankan berjaya merampas 64 utas jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama dan tujuh keping pasport pelbagai negara.
Serbuan dijalankan berjaya merampas 64 utas jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama dan tujuh keping pasport pelbagai negara.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu.

"Kegiatan jenayah ini bermula apabila suspek wanita warga tempatan merekrut dua lelaki warga Colombia yang dikesan masuk ke negara ini menggunakan visa pelawat.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket menyasarkan rumah mewah dengan menyamar sebagai penghantar barangan serta bungkusan," katanya.

Menurutnya, sindiket kemudian akan memecah masuk rumah yang didapati kosong serta tiada penghuni.

"Suspek dikesan akan memecah masuk menerusi pintu jeriji atau tingkap belakang rumah yang disasarkan.

"Hasil barangan yang dicuri kemudian akan diserahkan kepada pembeli yang diatur oleh suspek wanita warga tempatan di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, operasi yang dijalankan turut merampas empat buah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan jenayah.

Pasport pelbagai negara yang dirampas susulan tangkapan enam individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pecah rumah di sekitar Selangor dan Johor.
Pasport pelbagai negara yang dirampas susulan tangkapan enam individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pecah rumah di sekitar Selangor dan Johor.

"Berdasarkan semakan, salah sebuah kenderaan dirampas dilaporkan hilang sebelum ini.

"Pemeriksaan dijalankan dalam kenderaan berkenaan telah menemukan enam nombor pendaftaran dipercayai palsu, pelbagai peralatan pecah rumah dan beberapa barangan termasuk pakaian milik suspek," katanya.

Jelas beliau, susulan tangkapan ke atas kesemua suspek, polis kemudiannya membuat serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Serbuan dijalankan berjaya merampas 64 utas jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama dan tujuh keping pasport pelbagai negara.

"Selain itu, turut dirampas melibatkan 79 pelbagai bentuk barangan kemas, 29 bentuk batu kristal, 146 keping mata wang asing, lapan keping kad lesen memandu pelbagai negara, wang tunai berjumlah RM1,821 dan pelbagai peralatan pecah rumah," katanya.

Ujar beliau, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.