Infak pandu lalu di masjid: 'Boleh singgah, terus letak syiling'

Baharin berbual bersama penderma yang melalui Infaq n' Go di Masjid Assalam di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Baharin berbual bersama penderma yang melalui Infaq n' Go di Masjid Assalam di Pengkalan Chepa, Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kaedah pembayaran tol di negara ini menjadi pencetus idea kepada pihak pengurusan Masjid Assalam di Pengkalan Chepa untuk mewujudkan konsep infak secara pandu lalu yang dinamakan Infaq n' Go.

Imam Tua masjid itu, Baharin Yusoff berkata, lebih istimewa apabila infak berkenaan dimanfaatkan untuk disedekahkan kanak-kanak dan remaja berusia 15 tahun ke bawah yang menunaikan solat Subuh dalam usaha menggalakkan mereka mengimarahkan masjid.

Baharin memberitahu, infak itu memudahkan orang ramai yang melalui masjid untuk bersedekah tanpa perlu parkir kenderaan atau memasuki ruang masjid.

"Kadang-kadang mereka ada lebihan syiling selepas membeli barangan keperluan atau barang basah, jadi boleh terus singgah ke peti infak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.

Menurut Baharin, usaha bersedekah sebanyak RM5 seorang kepada jemaah kanak-kanak itu ternyata meningkatkan kehadiran sehingga 100 orang pada setiap waktu solat Subuh.

Tambah beliau, ia merupakan cadangan daripada Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Kaedah satu tabung satu rumah sebagai cara menggalakkan sedekah oleh pengurusan Masjid Assalam di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Kaedah satu tabung satu rumah sebagai cara menggalakkan sedekah oleh pengurusan Masjid Assalam di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Alhamdulillah kerana dapat meningkatkan jumlah jemaah kanak-kanak kerana kita mahu menggalakkan mereka bangun awal dan solat berjemaah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebelum ini ada yang mencadangkan supaya pengurusan masjid bekerjasama dengan pihak kantin di sekolah untuk membayar makanan.

Bagaimanapun, selepas perbincangan jelasnya, pihak pengurusan mengambil inisiatif bersedekah wang infak kerana ada kanak-kanak yang lebih gemar menabung.

Jelas beliau lagi, mereka melakukan persediaan selama tiga bulan termasuk mengadakan kajian sama ada relevan atau sebaliknya sebelum membina tempat tabung infak.

"Selepas seminggu beroperasi, pandu lalu infaq itu semakin dikenali penduduk setempat dan mereka turut berkongsi kemudahan itu di media sosial," katanya.

Baharin berkata, sebelum ini pihak pengurusan masjid melaksanakan kaedah satu tabung satu rumah untuk semua jemaahnya yang akan dipenuhi sebelum dihantar kepada masjid.

Dalam pada itu, masjid berkenaan turut berusaha menarik jemaah mendaftar untuk khairat kematian tanpa sebarang yuran yang dicadangkan oleh Pengerusi Masjid Assalam sebelum ini, Anis Hussien.