Sungai tidak diselenggara punca banjir

Penduduk menunjukkan keadaan Sungai Alor Merah, Alor Setar yang tidak diselenggara sejak 10 tahun lalu.
Penduduk menunjukkan keadaan Sungai Alor Merah, Alor Setar yang tidak diselenggara sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

KEJADIAN banjir yang berlaku sebanyak tiga kali kali pada tahun 2023 di sekitar Jalan Sekolah, Jalan Dato' Syed Ahmad dan Kampung Hujung Alor di Alor Merah, Alor Setar, Kedah memberikan kegusaran kepada penduduk yang tinggal di sekitar sungai tersebut.

Sungai Alor Merah yang dulunya menjadi nadi pengangkutan air di daerah ini dikatakan punca kepada kejadian banjir akibat masalah sampah sarap selain dasar sungai semakin cetek.

Masalah sampah, pokok tumbang selain dasar sungai semakin cetek menyebabkan Sungai Alor Merah, Alor Setar menjadi punca kepada kejadian banjir di kawasan tersebut.
Masalah sampah, pokok tumbang selain dasar sungai semakin cetek menyebabkan Sungai Alor Merah, Alor Setar menjadi punca kepada kejadian banjir di kawasan tersebut.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor turun padang mendengar luahan penduduk berhubung isu berkenaan.

ALOR SETAR - Sungai Alor Merah, di sini yang tidak dibersihkan sejak lebih 10 tahun lalu mendatangkan resah kepada penduduk sekitarnya apabila kampung-kampung yang berada berhampiran sungai itu dilanda banjir sebanyak tiga kali pada tahun lalu.

Imam Masjid Ar Rahman, Alor Merah, Azman Ali Mahsen, 36, berkata, sungai berkenaan yang lama tidak diselenggarakan menyebabkan alirannya tersekat disebabkan sampah yang banyak dan pokok tumbang di tebingnya.

Azman
Azman

Menurutnya, pada tahun 2023, kira-kira 200 rumah di sekitar Jalan Sekolah, Jalan Dato' Syed Ahmad dan Kampung Hujung Alor terjejas akibat kejadian banjir yang berlaku sebanyak tiga kali.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini kejadian banjir boleh kita jangkakan dan kebiasaannya berlaku pada musim tengkujuh, tapi kini ia boleh berlaku pada bila-bila sahaja apabila hujan berlarutan lama.

"Banyak pokok tua di tebing sungai tumbang dan sampah tersangkut menyebabkan aliran sungai menjadi perlahan sehingga air melimpah ke kawasan rumah penduduk apabila tibA musim hujan," katanya.

Perkara sama diakui oleh Penduduk, Abdul Wahab Bakar, 74, yang berharap agar pihak berkaitan dapat menjalankan kerja penyelenggaraan Sungai Alor Merah bagi mengatasi kekerapan banjir kilat.

Abdul Wahab
Abdul Wahab

Menurutnya, kali terakhir kerja-kerja membersihkan dan mendalamkan sungai tersebut telah dibuat lebih 10 tahun lalu.

"Selepas lama sungai ini tidak diselenggara, penduduk mula berdepan dengan masalah banjir. Sungai Alor Merah sepatutnya diselenggara secara tetap kerana banyak pembangunan baharu berlaku selain berlaku peningkatan jumlah penduduk kampung.

"Kerja mendalamkan sungai ini sepatutnya dibuat setiap tahun bagi mengelak banjir berlaku," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Syukur Sabu, 60, berkata, sungai tersebut sendiri mempunyai elemen sejarah kerana menjadi laluan pedagang yang membawa hasil jualan dan ternakan menggunakan tongkang suatu ketika dahulu.

Aabdul Syukur
Aabdul Syukur

Namun selepas pembangunan semakin banyak dan orang ramai mula mempunyai kenderaan sendiri, kepentingan sungai itu mula diabaikan.

“Saya sarankan kepada pihak berkaitan agar korek kembali sungai ini. Bila tidak ada kerja penyelenggaraan timbul masalah pelbagai masalah seperti terjadi pada hari ini. Paling ketara adalah kejadian banjir,” katanya yang merupakan penduduk asal di kawasan tersebut.

SUNGAI ALOR MERAH DISELENGGARA MAC DEPAN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani turun padang meninjau keadaan Sungai Alor Merah, di sini yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian banjir kepada beberapa kampung yang berada di sekitarnya.

Dzowahir
Dzowahir

Beliau yang juga Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah berkata, kerja pembersihan dan mendalamkan sungai itu akan bermula pada awal Mac depan selepas bajet diluluskan.

Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut adalah sepanjang tiga kilometer termasuk melebarkan sungai mengikut rezab yang ditetapkan.

"Kita sudah berbincang bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan kerja mendalamkan semula dan menebang pokok sekitar tebing bagi mengelak banjir berulang pada masa hadapan," katanya.

Dzowahir (kanan) bersama wakil MBAS, JPS dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar meninjau masalah di Sungai Alor Merah, Alor Setar.
Dzowahir (kanan) bersama wakil MBAS, JPS dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar meninjau masalah di Sungai Alor Merah, Alor Setar.

Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah wakil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri Kedah dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Alor Setar, Hadi Hisham.

Tambah Dzowahir, sungai tersebut mempunyai sejarah tersendiri yang perlu dipulihara kerana pernah menjadi laluan pengangkutan untuk membawa kerbau dan padi dengan menaiki tongkang.

“Kita kena adakan usaha untuk baik pulih sungai itu agar dapat kembali macam zaman dahulu. Kita akan adakan satu program gotong-royong dan beri kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga dan mencintai sungai kita dan merupakan anugerah daripada Allah,” ujarnya.

Masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Alor Merah turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang memberikan maklum balas menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, JPS juga akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membantu membina ‘culvert’ bagi menggantikan jambatan sedia ada di Kampung Hujung Alor Merah yang rendah dan selalu ditenggelami banjir.

“ Insya-ALLAH JPS telah memberikan jaminan bahawa isu Sungai Alor Merah akan dapat diselesaikan seawal Mac depan selepas bajet lulus.

“Projek ini membabitkan kerja-kerja membersih tebing dan mendalamkan sungai Alor Merah,” tulisnya.

Ulasnya, selain itu antara perkara tambahan lain semasa wakilnya turun bersama meninjau lokasi juga adalah melibatkan pembinaan bonggol jalan di kawasan sekolah.

“MBAS akan membina beberapa bonggol (gon) di jalan Kampung Alor Merah untuk mengawal kelajuan berhampiran sekolah,” jelasnya.