[VIDEO] Ketukan misteri hantui penduduk Kampung Kepis Ulu

A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Misteri ketukan pintu yang pernah dilaporkan 'menyerang' penduduk di beberapa negeri sebelum ini kini kembali dan kali ini mengganggu penduduk di Kampung Kepis Ulu di sini.

Sejak seminggu lalu, difahamkan kira-kira 13 rumah penduduk di situ didatangi ketukan tersebut yang datang tanpa jejak antara jam 10.30 malam sehingga jam 4 pagi.

Penduduk Hasdi Abu Hasan, 52, berkata, rumahnya menjadi sasaran pertama iaitu pada Ahad (31 Disember) lalu dan berulang dua hari selepas itu.

"Ketika kejadian, hanya emak serta anak perempuan saya saja ada di rumah dan cerita misteri ini mula kecoh apabila ada beberapa penduduk turut berkongsi pengalaman sama.

Hasdi
Hasdi

"Sejak itu saya akan pastikan semua lampu rumah kami dipasang pada waktu malam dan berpesan kepada keluarga supaya tidak membuka pintu sekiranya didatangi lagi bunyi ketukan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, setiap hari akan ada kejadian ketukan tersebut yang mengganggu penduduk sehingga mereka resah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia tidak rasa kejadian itu sengaja dilakukan oleh individu yang mahu menakut-nakutkan penduduk sebaliknya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan ilmu hitam.

Pengalaman sama turut dikongsi oleh suri rumah Nafisah Mohamad Sahabudin, 38, yang dikejutkan dengan bunyi ketukan tiga kali pada jam 3.50 pagi pada Ahad.

Nafisah
Nafisah

Ujarnya, dia kemudian membuka lampu dan meninjau dari tingkap, namun tiada sesiapa atau ternampak apa-apa entiti.

"Selepas itu saya terus tak boleh tidur dan rupa-rupanya rumah makcik dan pakcik saya pun turut diganggu pada hari sama.

"Sebelum rumah saya menjadi mangsa, saya dah dengar heboh di kampung ini gangguan ketuk-ketuk ini, jadi tidaklah terlalu terkejut dan takut," katanya.

Nafisah dan bapanya (dua dari kiri) menceritakan kejadian ketukan di rumah mereka.
Nafisah dan bapanya (dua dari kiri) menceritakan kejadian ketukan di rumah mereka.

Meskipun begitu katanya, dia tetap mengambil langkah berhati-hati kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Malah katanya, dia kini membuka ayat-ayat al-Quran sebagai 'pendinding' kerana percaya kejadian berlaku mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Wakil penduduk, Arshat Yusof, 66, berkata, sejak kejadian itu mereka sepakat mengambil inisiatif melakukan kawalan dan rondaan secara bergilir setiap malam.

Arshat
Arshat

Katanya, sebaik saja menerima maklumat ada rumah penduduk yang diganggu ketukan itu, pasukan bertugas akan ke lokasi bagi membuat pemeriksaan.

"Tapi bila kita tinjau di sekitar rumah, tiada apa-apa kesan atau bukti yang menunjukkan rumah terbabit didatangi 'seseorang'.

"Malah tidak ada pula laporan rumah penduduk yang diganggu itu kehilangan apa-apa barang atau ada berlaku kejadian tidak diingini dan ia lagi membuatkan kami bingung memikirkannya," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Ulu, S Afendi Baharudin berkata, mereka turut mendapatkan kerjasama daripada polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengadakan rondaan.

S.Afendi
S.Afendi

Tambahnya, pihak masjid turut membuat bacaan Yasin tiga malam berturut-turut dan penduduk turut disarankan membuat perkara sama.

"Tapi ketukan misteri itu tetap menghantui penduduk dan boleh dikatakan setiap malam sekurang-kurangnya tiga rumah menjadi mangsa.

"Pernah terjadi dalam waktu rondaan pun ada kes berlaku dan apabila kita sampai rumah mangsa, tidak menemui sebarang kesan atau nampak kelibat sesiapa," katanya.

Justeru itu katanya, sekiranya kejadian itu masih berulang dalam tempoh beberapa hari ini, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia tawarkan khidmat menyelesaikannya.

Nafisah melakonkan semula bagaimana bunyi ketukan yang didengarnya.
Nafisah melakonkan semula bagaimana bunyi ketukan yang didengarnya.