Kerjasama PDRM, UKM tambah baik keupayaan penyiasatan JSJN

Ayob Khan (tiga, kiri), menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor, UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman (tiga, kanan), ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman, di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM
Ayob Khan (tiga, kiri), menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor, UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman (tiga, kanan), ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman, di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalinan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dapat menambah baik keupayaan penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam memerangi ancaman dadah dan bahan psikoaktif baharu (NPS).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, selain pendidikan dan latihan kepada warga JSJN, ia juga meningkatkan penyelidikan dan kajian serta meneroka ilmu baharu berkaitan dadah.

"PDRM hari ini menyerahkan dana RM1.2 juta kepada UKM untuk sewa beli instrumen makmal, dana ini juga akan dimanfaatkan untuk penganjuran latihan kepakaran forensik narkotik kepada warga JSJN," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani; Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof Dr Mohammad Kassim serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din.

Ayob Khan berkata, Ayob Khan berkata, dana itu adalah rentetan kerjasama sejak 21 Oktober 2022 apabila satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani oleh pihak PDRM dan UKM.

"Seramai lapan pegawai polis iaitu seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan tujuh inspektor mengikuti kursus jangka panjang yang dianjurkan oleh UKM, program penyelidikan ini belum ditawarkan di mana-mana universiti.

"Mereka bakal mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan operasi terhadap sindiket dadah," katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh aspek penyelidikan yang akan dilaksanakan dalam kerjasama PDRM dan UKM ini, antaranya melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan perincian sebatian aktif.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, kajian ini akan menentukan apakah bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah.

"Ini bagi membolehkan pihak polis dengan kerjasama Lembaga Racun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk merangka satu SOP (prosedur operasi standard) atau undang-undang baharu, ataupun memperkemas undang-undang yang ada bagi mengawal ketat bahan kimia berkenaan," katanya.

Menurutnya, kajian itu juga bagi mengenalpasti bahan-bahan kimia yang boleh mendorong pengguna menjadi ganas dan terlibat dengan jenayah kekerasan dan

harta benda.

"Mengikut kajian awal yang dibuat, 60 peratus penagih dadah terlibat dengan jenayah kekerasan dan harta benda," katanya.

Ayob Khan berkata, kerjasama strategik itu turut akan melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan bagi menentukan kadar minimum dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah selain menentukan proses rawatan dan pemulihan mereka kelak.

"Melalui kerjasama ini, kita juga akan melaksanakan penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang akan memudahkan penyiasatan pihak polis.

"Seterusnya membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan di Asia Tenggara. Pangkalan data ini akan ditempatkan di makmal forensik Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, katanya PDRM dan UKM juga akan bekerjasama dalam menghasilkan 'strip' ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti dan kajian bagi menentukan kepekatan 'residue' (sisa) dadah di loji rawatan kumbahan.

"Kaedah itu bagi mengesan aktiviti dadah atau makmal dadah di premis yang sukar untuk diakses oleh pihak polis seperti komuniti berpagar dan bangunan tinggi seperti kondominium," katanya.