Jalinan kerjasama rentas agensi buah hasil kekang 'scam' telefon, SMS

Foto hiasan123RF
Foto hiasan123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalinan kerjasama rentas agensi membuahkan hasil dalam mengekang jenayah penipuan 'scam' menerusi panggilan telefon dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Ini termasuk melalui perkongsian pintar antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, usaha berkenaan akan terus dipergiat bagi membanteras jenayah itu yang menyebabkan kerugian mangsa mencecah sehingga jutaan ringgit.

Beliau berkata, selain kerjasama rentas agensi, undang-undang sedia ada juga mungkin perlu dilihat semula memandangkan jenayah ini sentiasa berkembang dengan elemen baharu, mencadangkan agar langkah diambil negara Eropah dijadikan contoh.

"Mungkin undang-undang sedia ada tidak memadai kerana kaedah perlakuan jenayah telah berubah umpamanya, ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga memerlukan kajian semula undang-undang," katanya menambah setakat ini, jenayah penipuan masih mengguna pakai Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilapor berkata, hampir dua bilion panggilan dan 581 juta SMS mencurigakan disekat daripada sampai kepada pengguna Malaysia dengan bantuan penyedia perkhidmatan syarikat telekomunikasi bagi menangani isu penipuan dalam talian.

Menurutnya, sebanyak 8,499 aduan awam turut diterima berkaitan aktiviti penipuan dari 2020 hingga April lepas dan sebanyak 3,370 laman phishing berjaya disekat

Sementara itu, pelajar universiti awam G. Dachainee, 24 berkata, sekatan tersebut memberi kelegaan kepada rakyat namun isu ini masih berada di tahap membimbangkan memandangkan terdapat segelintir masyarakat kurang cakna terhadap perkembangan teknologi.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan tersebut sudah cukup baik untuk menyekat penipuan dalam talian tetapi cara mengesan pelaku perlu dipertingkatkan kerana mangsa yang terlibat kebanyakannya adalah warga tua dan pelajar," katanya.

Seorang ahli perniagaan Amirah Idris, 35, berkata, usaha tersebut menunjukkan kerajaan serius dalam menangani isu penipuan dalam talian, bagaimanapun rakyat harus sentiasa berwaspada kerana jenayah siber itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

"Saya rasa usaha daripada kerajaan perlu dipertingkatkan memandangkan masih ada lopong-lopong dalam langkah tersebut seperti kawalan data peribadi melalui link di website contohnya di aplikasi perbankan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!