29 calon SPM terkandas banjir sudah dipindahkan

Kenderaan ATM digunakan bagi membantu membawa calon SPM yang terkandas banjir di Pahang ke sekolah untuk menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula pada Isnin.
Kenderaan ATM digunakan bagi membantu membawa calon SPM yang terkandas banjir di Pahang ke sekolah untuk menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 29 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tiga daerah terjejas banjir di negeri ini yang terkandas dibawa ke sekolah masing-masing untuk menjalani ujian bertutur bahasa Melayu yang dijadualkan bermula pada Isnin.

Pelajar terlibat terdiri dua calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, SMK Muadzam Jaya (17 calon), SMK Chini Timur (3 calon) dan SMK Maran 2 (7 calon).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Khairulamiran Abd Wahid berkata, semua calon yang terkandas telah diuruskan dan dibantu dibawa ke sekolah untuk menjalani ujian tersebut.

Menurutnya, rata-rata calon terlibat terkandas ekoran terputus hubung disebabkan laluan ke sekolah dinaiki air.

"Buat sementara waktu mereka yang terkandas ini akan akan ditempatkan di lokasi selamat termasuk di sekolah supaya dapat mengikuti ujian bertutur itu yang dijadualkan selama empat hari.

"Secara keseluruhannya, seramai 57 calon SPM di daerah Rompin, Pekan dan Maran terjejas dalam bencana itu ketika ini.

"Mereka merupakan calon SPM dari SMK Sungai Puteri, SMK Selendang, SMK Rompin, SMK Perantau Damai dan SMK Muadzam Jaya,SMK Tanjung Gemok dan SMK Keratong di Rompin; SMK Chini Timur di Pekan; SMK Maran 2 dan SMK Sri Jaya di Maran," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Khairulamiran berkata, ada dalam kalangan mereka kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS), rumah rakan dan keluarga serta di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 20,270 calon SPM 2023 di negeri ini terdiri 17,246 calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Sekolah Menengah Agama Negeri (1,233 calon), Maktab Randah Sains Mara (833 calon), swasta (248 calon), persendirian (622 calon) dan Sekolah Agama Rakyat (88 calon).