Rasuah Buster: PM, ahli politik tiada kuasa arah SPRM

Wan Azliana Wan Adnan
Wan Azliana Wan Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Sesiapa sahaja termasuk ahli politik atau Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mana-mana individu.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, SPRM merupakan badan bebas yang berfungsi tanpa dibayangi atau perlu merujuk kepada pihak tertentu dalam menjalankan siasatan berkaitan rasuah, penyelewengan dana dan salah guna kuasa.

“Persepsi siapa yang menjadi kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarah SPRM melakukan siasatan ke atas mana-mana individu perlu dielakkan.

"Mana-mana pihak tidak boleh salah guna kuasa menekan SPRM untuk kepentingan politik atau balas dendam mahupun bertujuan menutup mulut lawan," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Azliana turut menggesa supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen agar badan penguat kuasa anti rasuah itu boleh menjalankan tugas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Tambahnya, suruhanjaya terbabit perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas, tidak terpengaruh atau terlibat dengan campur tangan mana-mana pihak seperti kuasa eksekutif atau pengaruh politik.

"Sebab itu SPRM perlu diletak di bawah Parlimen. Sepatutnya SPRM lapor terus kepada Parlimen. Pendakwaan terpilih juga kelihatan seperti SPRM digunakan sebagai alat politik," katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga perlu segera dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada dihukum atas kesalahan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha itu mampu membendung isu rasuah dan salah guna kuasa daripada terus berleluasa.

"SPRM diwujudkan untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah termasuk salahguna kuasa.

"Jika kerajaan masih tidak melakukan sebarang tindakan berkaitan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kita khuatir ia akan memberi persepsi buruk terhadap pentadbiran kerajaan sekarang," tegasnya.