Sudah tiba masanya kita belajar menghormati air - CAP

N V Subbarow. Gambar kecil: laporan sinar
N V Subbarow. Gambar kecil: laporan sinar
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penduduk negeri ini agar menjadikan situasi gangguan bekalan air yang akan berlaku selama empat hari bermula 10 Januari depan sebagai proses pembelajaran menghormati air.

Pegawai Pendidikannya, N V Subbarow berkata, sudah tiba masanya untuk kita belajar cara menjimatkan air dan mendisiplinkan diri ketika menggunakan sumber itu setiap hari di rumah.

Menurutnya, penggunaan air secara tidak berhemah bukan sahaja menyebabkan pembaziran malah mengakibatkan bil melambung tinggi.

"Cara paling mudah bagi pemilik rumah untuk menjimatkan air adalah dengan hanya menutup paip dengan betul, baiki segera sekiranya terdapat kebocoran dan beberapa cara lain yang perlu diamalkan.

"Dengan hanya menutup paip semasa memberus gigi, anda boleh menjimatkan sehingga lapan gelen air setiap hari.

"Memang pada asas tarif air bagi domestik masih murah, tetapi kosnya bertambah dari masa ke masa...Jadi kenapa perlu kita membazir kalau kita masih boleh berjimat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Subbarow berkata,kebocoran kecil yang berlaku boleh membazirkan ratusan gelen air setiap hari dan tandas yang mengalir dengan mudah boleh membazirkan 200 gelen air setiap hari.

Tambahnya, bagi mengatasi masalah itu beliau menyarankan orang ramai memasang kepala pancuran mandian penjimatan air dan pengudaraan paip aliran rendah selain mandi dalam tempoh lebih pendek.

Artikel Berkaitan:

"Jangan biarkan air mengalir semasa mencuci pinggan dengan tangan. Lebih baik lagi, gunakan mesin basuh pinggan mangkuk kerana kebanyakan model moden lebih cekap daripada mencuci dengan tangan.

"Jika tidak mempunyai mesin basuh pinggan mangkuk, gunakan kuali di sinki dapur semasa membasuh dan membilas, air lebihan basuhan itu boleh dikitar semula untuk disiram pada tumbuhan di luar rumah," ujarnya.

Beliau berkata, ketika ini purata isi rumah menggunakan 130,000 gelen setahun dan sekiranya disiplin penggunaan air dapat diterapkan oleh semua ia akan mengurangkan penggunaan air anda sebanyak 44,000 gelen setahun.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Subbarow mengingatkan ahli politik supaya tidak lagi berdebat dan menuding jari berhubung isu gangguan air berjadual yang akan berlaku Rabu depan.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk bersama mendidik masyarakat dalam kepentingan menghargai air terutamanya untuk anak-anak di rumah.