Netanyahu mohon imuniti di Knesset

Benjamin Netayanhu
Benjamin Netayanhu
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netayanhu semalam memohon imuniti daripada Knesset beberapa minggu selepas beliau berdepan beberapa tuduhan rasuah.

Permohonan imuniti tersebut dijangka menangguhkan prosiding mahkamah selama beberapa bulan memandangkan ahli Parlimen tidak akan mengundi perkara tersebut sehingga Pilihan Raya Umum ketiga dalam tempoh setahun pada 2 Mac ini.

"Ia sejajar dengan undang-undang dengan matlamat untuk terus berkhidmat kepada penduduk dan masa depan Israel," kata Netanyahu.

Jurucakapnya, Ofer Golan turut mengesahkan permohonan itu dikemukakan kepada Speaker Knesset.

November lalu, Netanyahu didakwa dengan rasuah, penipuan, pecah amanah dalam tiga kes korupsi berasingan, namun pemimpin Parti Likud itu menafikan kesemua tuduhan tersebut.

Sementara itu, pesaingnya daripada Parti Biru dan Putih, Benny Gantz berkata, beliau bersama partinya akan melakukan apa sahaja untuk menyekat imuniti tersebut.

"Netanyahu tahu beliau bersalah. Di Israel, tiada sesiapa pun boleh lari daripada undang-undang," tegasnya.

Difahamkan, Perdana Menteri perlu meletak jawatan apabila disabit bersalah dan tiada lagi pilihan untuk mengemukakan rayuan. -AFP

Artikel Berkaitan: