Anak saudara, bekas pekerja Sivarasa bebas tuduhan rasuah

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis melepas dan membebaskan anak saudara kepada bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya daripada tiga pertuduhan rasuah kerana tidak melaporkan kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, enam tahun lepas.

Hakim, Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar oleh R Naveen Kularasa, 51, dan bekas pekerja Sivarasa, Nico Kam Joo Hoe, 25, telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kes ini telah ditetapkan untuk perbicaraan pada minggu hadapan namun terdapat perkembangan baharu iaitu representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar kedua-dua tertuduh diterima oleh AGC.

"Oleh itu pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan dan mohon mahkamah melepaskan tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh,” kata Noralis pada sebutan kes itu, hari ini.

Peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Joo Hoe dan M Puravalen yang mewakili Naveen memohon anak guam mereka dilepas dan dibebaskan, mengambil kira faktor kes yang dituduh merupakan kes aduan lama sejak 2017 dan adalah tidak munasabah untuk membiarkan kedua-dua tertuduh dibelenggu pertuduhan sekiranya pendakwaan menukar fikiran.

"Perkara ini harus dimuktamadkan. Pihak pendakwaan juga tidak memberikan sebarang alasan mengapa kedua-dua tertuduh tidak harus dilepas dan dibebaskan,” kata Ramesh.

Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, Azura kemudian melepas dan membebaskan kedua-dua lelaki itu dan memerintahkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan kepada penjamin.

Pada 24 Jan tahun lepas, Naveen dan Joo Hoe mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah bersetuju untuk menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Kam (tertuduh kedua) berhubung perkara sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua restoran di Cheras dan di sekitar Kuala Lumpur pada 1 tengah hari hingga 10 malam, antara 17 hingga 21 September 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama