Lebih RM50 juta kos baiki jalan rosak akibat banjir

Nanta (dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan perkembangan kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular di Jeli pada Sabtu.
Nanta (dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan perkembangan kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular di Jeli pada Sabtu.
A
A
A

JELI - Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan lebih RM50 juta bagi membaik pulih jalan persekutuan di semenanjung Malaysia yang rosak akibat bencana banjir.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu melibatkan 81 projek di empat negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

No Image Caption

Menurutnya, projek berkenaan termasuk pembinaan semua jalan dan pembetung di lokasi runtuhan di KM 73.85 Jalan Dabong-Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu di sini pada Isnin lalu.

“Banjir yang melanda semenanjung pada Monsun Timur Laut (MTL) terutama di negeri pantai timur menyebabkan kerosakan jalan, runtuhan cerun dan tanah runtuh.

“Kelantan antara negeri banyak berlaku kerosakan jalan persekutuan akibat banjir selepas Johor dan kerja-kerja seperti melibatkan runtuhan di Jeli tersebut sedang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan bagi melihat kemajuan kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular di Jalan Dabong - Jeli pada Sabtu.

Tambah beliau, kesemua projek baik pulih tersebut dikategorikan sebagai keperluan segera yang akan dipercepatkan kerana melibatkan keutamaan dan keperluan pengguna jalan raya serta penduduk setempat.

Lokasi runtuhan di KM 73.85 Jalan Dabong-Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli.
Lokasi runtuhan di KM 73.85 Jalan Dabong-Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pihak kementerian menjangkakan projek dapat disiapkan dalam tempoh terdekat pada April ini dan akan turun padang dari semasa ke semasa bagi memantau perkembangan kerja-kerja yang dijalankan.

“Kementerian prihatin untuk menyegerakan projek baiki pulih terutama di Jalan Dabong - Jeli dengan kos RM700,000 ini kerana laluan ini digunakan oleh 10,000 pengguna pada setiap hari.

“Projek akan disiapkan sebelum menjelang Aidilfitri bagi membolehkan penduduk menggunakan semula laluan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, keseluruhan kos baik pulih jalan-jalan persekutuan yang rosak akibat banjir di Kelantan berjumlah RM10.6 juta.

Kerja-kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular di Jalan Dabong - Jeli pada Sabtu.
Kerja-kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular di Jalan Dabong - Jeli pada Sabtu.

“Kerosakan lain di negeri ini antaranya cerun runtuh di laluan FT2750 Seksyen 3.49, Jalan Berdang-Sungai Rual dengan anggaran kos pembaikan RM 5 juta.

“Kerosakan jalan FT196 Seksyen 6.8 hingga 7.8 dan Seksyen 26 hingga 27 Jalan Panglima Bayu - Rantau Panjang-Jeram Perdah, Rantau Panjang (RM1.3 juta) serta laluan FT2747, Seksyen 5 hingga 5.9, Jalan Pulai ke Gua Musang (RM1.5 juta),” katanya.