AS, Israel dalang serangan bom berkembar?

Letupan berkembar yang berlaku selang 15 minit itu menggegarkan kawasan berhampiran tanah perkuburan para syuhada di Masjid Saheb al-Zaman di Kerman pada Rabu.
Letupan berkembar yang berlaku selang 15 minit itu menggegarkan kawasan berhampiran tanah perkuburan para syuhada di Masjid Saheb al-Zaman di Kerman pada Rabu.
A
A
A

TEHERAN - Konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) semakin tegang selepas Teheran menuding jari menyalahkan Washington dan sekutunya, Israel sebagai dalang bertanggungjawab menyebabkan serangan bom berkembar yang meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa pada Rabu.

Tragedi itu berlaku ketika orang ramai memperingati ulang tahun keempat kematian Ketua Pasukan Quds di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani yang terkorban dalam serangan dron dilancarkan AS di Baghdad.

Letupan berkembar yang berlaku selang 15 minit itu menggegarkan kawasan berhampiran tanah perkuburan para syuhada di Masjid Saheb al-Zaman di Kerman.

Qasem Soleimani terkorban dalam serangan dron dilancarkan AS di Baghdad pada Januari 2020.
Qasem Soleimani terkorban dalam serangan dron dilancarkan AS di Baghdad pada Januari 2020.

Agensi berita IRNA melaporkan lebih 200 turut cedera dalam kejadian itu.

“Serangan bom pertama berlaku pada jarak kira-kira 700 meter dari pusara Soleimani, manakala letupan seterusnya di kawasan terletak sejauh kira-kira satu kilometer,” menurut laporan tersebut.

Maklumat daripada sumber boleh dipercayai yang diperoleh agensi berita Tasnim mendapati bom tersebut diletakkan di dalam dua beg dan pelaku misteri meletupkan objek itu menggunakan alat kawalan jauh.

Rakaman yang menjadi tular menunjukkan orang ramai lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri selepas pihak berkuasa mula mengepung lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang disifatkan sebagai serangan pengganas oleh media tempatan dan pihak berkuasa di rantau berkenaan.

Ia berlaku di tengah-tengah krisis yang semakin meningkat di Asia Barat dan sehari selepas pemimpin No. 2 Hamas, Saleh al-Arouri terkorban akibat serangan dron dilancarkan Israel di ibu kota Lubnan.

Mangsa termasuk kanak-kanak yang cedera dalam serangan menggemparkan itu.
Mangsa termasuk kanak-kanak yang cedera dalam serangan menggemparkan itu.

“Washington dakwa mereka dan Tel Aviv kononnya tidak terlibat langsung dengan serangan ganas di Kerman.

“Adakah kata-kata mereka boleh dipercayai setelah apa yang berlaku di rantau ini. Tiada keraguan lagi, AS dan Israel dalang sebenar yang menjadikan keganasan sebagai ‘alat’ mereka,” kata Timbalan Politik Presiden Iran, Mohammad Jamshidi menerusi platform X.

Washington yang sibuk campur tangan dalam krisis di Asia Barat juga menafikan dakwaan tersebut, namun rejim Tel Aviv yang sedang dikutuk di seluruh dunia enggan mengulas.

“Kami sedang memberi tumpuan penuh kepada pertempuran dengan Hamas,” kata jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari.

Sementara itu, Pemimping Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyalahkan ‘musuh jahat’ Teheran bertanggungjawab dan beliau berikrar untuk bertindak balas dengan tegas.

Presiden Ebrahim Raisi yang terpaksa membatalkan lawatan ke Turkiye pada Khamis juga mengutuk keras jenayah kejam itu selepas pemerintah mengisytiharkan hari berkabung sehari selepas tragedi tersebut.

MAYAT BERGELIMPANGAN

Rakaman stesen TV menunjukkan kebanyakan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan pasukan perubatan bersama ambulans berhempas-pulas untuk menyelamatkan mereka.

“Kami sedang menuju ke kawasan perkuburan apabila sebuah kereta berhenti dan sebuah tong sampah yang mengandungi bom meletup secara tiba-tiba. Kami hanya mendengar letupan kuat dan kemudiannya mayat bergelimpangan,” kata seorang saksi.

Beberapa jam selepas tragedi berdarah itu, orang ramai nekad kembali semula ke lokasi tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk AS dan Israel.

Sebahagian mayat yang ditempatkan di sebuah hospital di bandar Kerman untuk proses pengecaman.
Sebahagian mayat yang ditempatkan di sebuah hospital di bandar Kerman untuk proses pengecaman.

“Kami sememangnya mengecam kejadian keganasan tersebut. Saya berharap pelaku jenayah kejam ini akan segera dikenal pasti dan dihukum atas perbuatan mereka,” kata Zeinab yang merupakan anak perempuan Soleimani.

Gerakan Hamas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan negara antarabangsa turut mengutuk serangan bom berkembar itu.Menerusi kandungan surat dihantar Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Raisi dan Khamenei, beliau juga menyelar pembunuhan kejam ke atas orang ramai yang menziarahi pusara Soleimani.

Pengeboman berkembar itu adalah yang paling berdarah sejak serangan ke atas Cinema Rex di bandar Abadan selepas pelaku bertindak membakar premis tersebut dengan sengaja sehingga menyebabkan 377 terbunuh. - AFP