[VIDEO] 'Setinggan minta pampasan RM100,000 seekar' - MB

A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri mendedahkan pengusaha pertanian tanpa kebenaran di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) di kawasan Mukim Pasir Panjang Ulu, Daerah Perak Tengah meminta pampasan RM100,000 bagi 0.4 hektar jika mahu mereka keluar daripada tanah yang diusahakan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimana pun MB Inc hanya bersetuju untuk memberikan bayaran ex-gratia sebanyak RM2,000 bagi 0.4 hektar kepada pengusaha-pengusaha tanpa kebenaran di tanah seluas 324.15 hektar berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak melakukan sebarang penganiayaan atau pengusiran secara paksa terhadap mereka sebaliknya ia dilakukan mengikut proses perundangan.

"Pihak MB Inc telah mengadakan beberapa siri rundingan secara langsung bersama pengusaha-pengusaha tersebut sejak tahun 2021 lagi dan telah menawarkan ex-gratia dengan kadar munasabah..

Saarani (tengah) turut memotong kek sebagai simbolik Sambutan Ulang Tahun ke-3 Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, pada Khamis.
Saarani (tengah) turut memotong kek sebagai simbolik Sambutan Ulang Tahun ke-3 Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, pada Khamis.

"Saya tahu mereka menuntut harga RM100,000 seekar (0.4 hektar). Sangat tidak adil kepada MB Inc selaku tuan tanah kena bayar pula kepada mereka dengan jumlah itu. Sudahlah mereka tak bayar apa pun kepada kita, sekarang kita nak tanah kita balik, kena bayar pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Saarani berkata, Operasi Pembersihan Fasa 1 pada 29 Disember 2023 lalu, melibatkan sebahagian kecil kawasan tanaman sawit seluas 8.09 hektar daripada keseluruhan tanah pajakan melombong MB Inc seluas 324.15 hektar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan kerana kawasan terbabit akan dibangunkan sebagai projek perlombongan bijih timah yang dipercayai masih mempunyai potensi mineral untuk diterokai, sekali gus dapat menjadi hasil baharu yang menyumbang kepada kerajaan negeri.

Saarani (duduk, kanan) melayani rakyat yang datang ke Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.
Saarani (duduk, kanan) melayani rakyat yang datang ke Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Jelasnya, amat penting bagi MB Inc selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipertanggungjawabkan sebagai penggerak mineral negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan dan melaksanakan aktiviti perlombongan dengan kadar segera dan penuh tanggungjawab.

"Kerajaan negeri sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu berkaitan pengusaha-pengusaha tanpa kebenaran melakukan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan di atas tanah kerajaan atau GLC negeri Perak.

"Ia tindakan sama seperti mana yang kita ambil tindakan kepada petani-petani yang telah meneroka tanah PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) di Silver Valley Technology Park di Chemor dan Kanthan. Jadi saya harap tidak adalah orang yang akan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana. Kita menguruskannya mengikut undang-undang," katanya.

Pada 30 Disember lalu, media melaporkan seramai lebih 100 peneroka tanah bekas lombong bijih timah sekitar Kampung Air Kuning, Kampung Gajah, Pasir Salak membantah tindakan kerajaan negeri membenarkan aktiviti perlombongan di kawasan terbabit.