Ditahan miliki dadah RM2.7 juta, lelaki cuba sogok RM100,000

SHAH ALAM - Seorang lelaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM100,000 untuk mengelak daripada ditahan selepas penemuan dadah jenis ketamin bernilai RM2.7 juta di dalam but keretanya di tepi jalan di Bukit Puchong, Selangor, 13 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu ditahan semasa rondaan cegah jenayah anggota Balai Polis Puchong kira-kira jam 7.50 petang.
"Suspek yang sedang berjalan menuju ke keretanya jenis Hyundai itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
"Pemeriksaan anggota polis terbabit di ruangan khas di but kereta suspek menemui sembilan bungkusan dadah disyaki ketamin seberat 45.4 kilogram bernilai RM2.7 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.