SESB tiada kuasa naik, luluskan tarif elektrik - Madius

Madius
Madius
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Madius Tangau menjelaskan bahawa syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan dan meluluskan tarif elektrik.

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa hal ehwal tarif elektrik di Sabah sebelum ini ditentukan oleh kerajaan Persekutuan dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Saya melihat masih ramai yang keliru dengan perkara ini sehingga banyak pihak yang marah kepada SESB.

"Semasa Mesyuarat Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu juga memperlihatkan masih ramai wakil rakyat yang tidak faham tentang hal ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Madius berkata, sebagai makluman, SESB berperanan sebagai sebuah syarikat utiliti yang berniaga membekalkan bekalan elektrik kepada pengguna.

"Hal-hal tarif dan lain-lain yang berkaitan adalah ditentukan oleh jemaah Kabinet Persekutuan atas cadangan ST dan pihak SESB hanya melaksana segala yang telah diluluskan dengan dikawal selia dan dikuatkuasakan oleh ST," katanya.

Sebelum itu, ST dalam kenyataan pada 26 Disember lalu memaklumkan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024 di Sabah dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Berimbang (ICPT).

Artikel Berkaitan:

ICPT merujuk kepada satu mekanisme yang diluluskan Kerajaan dan dikawal selia oleh ST di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Melalui pelaksanaan ICPT, pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan dikenakan sebarang surcaj.

Pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj manakala pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Sementara itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil sederhana (PMKS), operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1).

Bagaimanapun, Madius berkata, pihak SESB pula dipersalahkan, sedangkan keputusan pelarasan tarif ICPT itu di luar bidang kuasa SESB.

"Selepas Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Bekalan Elektrik Sabah diluluskan oleh DUN hari ini, maka kuasa menentukan hal-hal tarif elektrik kelak akan diluluskan oleh jemaah Kabinet kerajaan Sabah atas cadangan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS)," jelasnya.

Berhubung pertanyaan mengenai kakitangan di pejabatnya, Madius memaklumkan ia bagi meningkatkan komunikasi SESB yang selama ini tidak sampai kepada pihak luar sehingga ramai yang terkeliru mengenai SESB.

"Masih ramai pihak yang kurang faham termasuk seperti perkara-perkara yang saya nyatakan tadi," ujarnya.