Bomba agih 120,000 liter air di Besut

Jentera bomba ditempatkan di dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Besut bagi membantu membekalkan air bersih kepada penduduk terjejas.
Jentera bomba ditempatkan di dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Besut bagi membantu membekalkan air bersih kepada penduduk terjejas.
A
A
A

BESUT - Sebanyak 120,000 liter air diagihkan setiap hari ke kawasan terlibat gangguan bekalan air akibat masalah kebocoran paip yang berlaku di dasar sungai Besut dekat Jambatan Kampung Lampu di sini bermula Khamis lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, usaha itu dilakukan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai inisiatif membantu penduduk yang terjejas.

Menurutnya, agihan air bersih itu menggunakan sebuah jentera 'water tanker' berkapasiti 20,000 liter yang ditempatkan di dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, di sini.

Anggota bomba membantu penduduk menadah air untuk diagihkan kepada mereka yang terjejas.
Anggota bomba membantu penduduk menadah air untuk diagihkan kepada mereka yang terjejas.

"Inisiatif ini telah dilaksanakan sejak Sabtu lalu di mana lokasi tumpuan agihan air melibatkan kawasan sekitar tangki air Bukit Keluang di Kota Putera, Besut.

"Jentera tersebut ditempatkan di dataran ini bagi memudahkan proses agihan bekalan air dilakukan ke tangki-tangki kecil yang dibawa oleh sukarelawan yang membantu membawa ke kawasan-kawasan kediaman penduduk yang terjejas.

"Proses penghantaran bekalan air menggunakan jentera agak sukar kerana ada sesetengah kawasan tidak dapat dilalui jentera kita yang agak besar. Jadi, agihan air ini perlu dilakukan secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, selain disalurkan melalui tangki, penduduk yang ingin mendapatkan bekalan air boleh terus ke lokasi yang menempatkan jentera berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut menerima bantuan sebuah lagi jentera 'water tanker' dari BBP Marang yang digunakan bergilir-gilir 24 jam sehari untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Penduduk yang terjejas menadah air untuk kegunaan harian di kawasan yang disediakan oleh JBPM di dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Besut.
Penduduk yang terjejas menadah air untuk kegunaan harian di kawasan yang disediakan oleh JBPM di dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Besut.

"Untuk memastikan kualiti sumber air yang dibekalkan pihaknya mengambil air pili bomba yang telah ditentukan oleh pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU)," ujarnya.

Sebelum ini SATU dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan kebocoran paip dasar sungai bersaiz 600mm yang berlaku menyebabkan gangguan bekalan air yang berlaku di 11 kampung.

Menurutnya, sebanyak 2,670 akaun pengguna dijangka mengalami gangguan bekalan air sehingga 21 Januari depan dan kerja baik pulih giat dijalankan oleh kontraktor dilantik.