Gangguan bekalan air: Operasi di semua hospital di Pulau Pinang tak terjejas

Semua operasi di HPP tidak akan terjejas sepanjang lima hari gangguan bekalan air bermula 10 Januari ini. Gambar kecil: Daniel
Semua operasi di HPP tidak akan terjejas sepanjang lima hari gangguan bekalan air bermula 10 Januari ini. Gambar kecil: Daniel
A
A
A

GEORGE TOWN - Semua operasi di pusat kesihatan termasuk klinik kesihatan dan hospital awam di Pulau Pinang tidak akan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang bermula 10 Januari ini.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, selain mempunyai simpanan bekalan air untuk kegunaan selama 48 jam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tetap akan menghantar lori tangki ke semua hospital, klinik kesihatan dan hospital swasta di seluruh negeri.

"Semua klinik kesihatan, hospital awam, hospital swasta, pusat dialisis (awam dan swasta) akan beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun, PBAPP akan menghantar bekalan air melalui 'water tanker'.

"PBAPP sudah membuat penyelarasan dengan semua hospital dan klinik terlibat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah beliau, Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak akan terkesan dengan gangguan bekalan air yang dijangka berlaku selama lima hari itu nanti.

"Semua operasi di HPP tidak akan terkesan, cuma di hospital awam yang lain, akan ada penjadualan semula untuk pembedahan dan surgeri sepanjang tempoh gangguan.

"Sementara itu, operasi di semua klinik pergigian akan ditangguhkan kerana jenis klinik ini perlu menggunakan air yang banyak dalam setiap operasinya.

"Bagi kes yang sudah ada janji temu, kita akan buat penjadualan semula, sama ada akan diawalkan atau dilewatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari ini.

Ia termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama di negeri ini.

Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Gangguan tersebut akan berlaku selama lima hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.