X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Dihina kutip sampah, ibu tunggal didik anak hingga berjaya

Zainal Abidin (kanan) tidak pernah malu dengan pekerjaan ibunya, malah kagum dengan usaha yang dilakukan demi membesarkan dia dan adik-adik.
A
A

RANTAU PANJANG - Ketabahan seorang ibu tunggal menjalankan kerja mengutip sampah sehingga dipandang jijik segelintir masyarakat sekeliling membuatkannya nekad memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anaknya.

Rahimah Dollah, 54, yang bergelumang dengan sisa buangan dan barangan terpakai itu sejak 2003 bagi menyara kehidupannya bersama tiga anak masih belajar, sanggup memekakkan telinga mendengar kata-kata sinis pihak tertentu terhadap pekerjaannya itu.

Berkat kesabaran Rahimah itu, dua anaknya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi iaitu anak sulungnya, Zainal Abidin Che Hassan, 25, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Mekatronik, manakala anak kedua, Siti Zaitun, 18, pula mengikuti pengajian A-Level di Kolej Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Nerang, Kedah selepas memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Anak bongsunya, Zainal Asyraf Che Hassan, 16, memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan bulan lalu.

Rahimah sanggup memekakkan telinga dan menelan sindiran sinis orang ramai terhadap pekerjaannya itu.
Rahimah sanggup memekakkan telinga dan menelan sindiran sinis orang ramai terhadap pekerjaannya itu.

Rahimah berkata, dia melakukan kerja tersebut bagi membantu menambah pendapatan arwah suaminya yang hanya bekerja kampung.

"Ketika itu saya terdesak untuk membeli susu anak yang sedang kelaparan, hendak tunggu suami pula petang baru pulang dan belum tentu bawa wang.

"Dari situlah saya mula kutip sampah seperti botol, tin dan sebagainya di sekitar kejiranan. Dengan hasil jualan itu, saya memperoleh hampir RM50 dan dapat membeli susu anak serta makanan lain ketika itu," katanya.

Bagaimanapun pada 2010 katanya, dia dan anak-anaknya berdepan ujian cukup berat apabila suami, Che Hassan Mohamed, 61, yang merupakan tonggak keluarga meninggal dunia akibat kanser tiroid.

"Hasil jualan botol, kotak dan barangan kitar semula inilah saya menyara keluarga, selain menghantar anak ke sekolah," katanya.

Rahimah berkata, setiap hari dia akan berjalan kira-kira 30 kilometer sekitar Rantau Panjang untuk mengutip barangan terpakai menggunakan kereta sorong dan kadang-kala menaiki basikal disebabkan kudratnya tidak sekuat sebelum ini.

Setiap hari Rahimah akan berjalan kaki kira-kira 30 kilometer sekitar Rantau Panjang untuk mengutip sampah dan barangan terpakai.
Setiap hari Rahimah akan berjalan kaki kira-kira 30 kilometer sekitar Rantau Panjang untuk mengutip sampah dan barangan terpakai.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, dia tidak pernah malu dengan pekerjaan dilakukan ibunya itu.

Malah katanya, dia cukup bangga dengan usaha tidak pernah jemu ibunya dalam mendapatkan rezeki halal.

"Jika ada masa terluang, saya akan bantu ibu kerana inilah rezeki buat kami sekeluarga," katanya.

Selain mengutip sampah Rahiman turut membuat penyapu lidi daripada daun kelapa sebagai sumber pendapatan tambahan.
Selain mengutip sampah Rahiman turut membuat penyapu lidi daripada daun kelapa sebagai sumber pendapatan tambahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!