Tempoh pemutihan sekolah agama persendirian dilanjut hingga Disember

Mohamad Fahmi
Mohamad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh pemutihan sekolah agama persendirian di Selangor dilanjutkan sehingga Disember tahun ini susulan garis panduan pemutihan baharu kini sedang dikemas kini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata, beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan pengusaha sekolah agama persendirian terbabit.

"Ini termasuk PITAS (Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor) dan GASIS (Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor) dengan mengambil kira keresahan mereka dalam penggubalan garis panduan pemutihan yang baharu ini.

"Sementara menunggu garis panduan baharu siap, tempoh pemutihan dipanjangkan kepada Disember 2024 untuk memberi lebih masa kepada pengusaha memenuhi syarat-syarat pemutihan sedia ada," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini memaklumkan sebanyak 225 atau 45 peratus daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses pemutihan sejak 2020 hingga September tahun lalu.

Mohamad Fahmi berkata, usaha pemutihan itu melibatkan 106 maahad tahfiz, 98 sekolah rendah Islam integrasi dan 21 sekolah menengah Islam.

Bagaimanapun katanya, halangan utama dihadapi pihak sekolah untuk melaksanakan tindakan pemutihan adalah kos lantikan konsultan agak tinggi sebagai syarat mendapat kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kedua, pelanggaran keperluan peraturan PBT dengan sekolah yang beroperasi tidak berupaya mendapatkan ulasan kebenaran PBT mengikut tempoh masa ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat juga sedikit perubahan perlu dibuat pada garis panduan pemutihan 1.0 untuk memudahkan pelaksanaannya kerana (garis panduan) yang ada tidak melihat secara menyeluruh kemampuan sekolah persendirian untuk melaksanakannya,” katanya.