Sekolah tahfiz: 147 patuhi piawaian keselamatan, 32 permohonan ditolak

Wan Md Razali
Wan Md Razali
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 179 sekolah agama (tahfiz) persendirian di Selangor telah mengemukakan permohonan pelan bangunan komersial untuk beroperasi sekali gus mengikuti garis panduan pemutihan ditetapkan.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, hanya 147 pusat tahfiz telah mendapat kelulusan, manakala baki 32 lagi telah ditolak.

Menurutnya, punca permohonan pelan bangunan ditolak berikutan kegagalan pusat tahfiz mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

"Permohonan (pelan keselamatan bangunan) ditolak seperti kegagalan menyediakan tangga kedua, pintu keluar, pendawaian elektrik, alat pemadam api, alat pengesan asap, bekalan air untuk memadam api dan jalan masuk jentera bomba," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Beliau berkata, pelan kelulusan bangunan itu juga turut dikuatkuasakan terhadap semua premis komersial yang beroperasi di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah penyelesaian bagi menangani perkara itu, pihaknya turut mewujudkan kaunter perbincangan kepada pemilik premis.

"Kita ada pegawai di bahagian keselamatan kebakaran yang akan teliti perkara ini dalam aspek kehendak dan keperluan kebombaan itu sendiri.

"Semua premis bangunan mestilah memenuhi dan mematuhi peraturan ditetapkan serta mendapat kelulusan daripada bomba," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor sebelum ini meluluskan garis panduan dan pemutihan sekolah tahfiz pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021.

Usaha kerajaan negeri itu turut mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian.