Ringgit terus susut berbanding dolar AS

Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu ketika pelabur menunggu petunjuk lebih jelas mengenai prospek kadar faedah di negara maju itu.
Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu ketika pelabur menunggu petunjuk lebih jelas mengenai prospek kadar faedah di negara maju itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu ketika pelabur menunggu petunjuk lebih jelas mengenai prospek kadar faedah di negara maju itu.

Pada 9 pagi, ringgit turun ke paras 4.6205/6250 berbanding dolar AS daripada 4.6035/6080, sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran memberi tumpuan terhadap minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutan AS (FOMC) yang akan diumumkan esok bagi mendapatkan lebih banyak gambaran lebih jelas mengenai pengurangan kadar faedah di negara maju itu pada tahun ini.

"Oleh kerana ringgit sudah pun dalam keadaan terlebih beli pada masa ini, kami menjangkakan beberapa pembetulan teknikal akan berlaku,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 102 mata walaupun Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) AS lemah dan mencatat 47.9 mata pada Disember berbanding anggaran ramai pada 48.2 mata.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali bagi yen Jepun yang menyaksikannya turun kepada 3.2550/2584 daripada 3.2317/2552 pada Selasa.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8362/8418 daripada 5.8524/8582 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0590/0639 daripada 5.0685/0734.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang Asean lain.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4840/4877 daripada 3.4793/4830 pada akhir urus niaga Selasa dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.4913/5111 daripada 13.4838/5033.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/299.1 daripada 297.5/298.0 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.31 daripada 8.27/8.28. - Bernama.