Ringgit mengukuh berbanding Yen, susut berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup mengukuh berbanding yen Jepun namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman mengenai data inflasi AS pada lewat Rabu, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit turun kepada 4.6785/6835 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6805, semalam.

Laporan menyatakan bahawa yen yang juga mata wang ketiga baling banyak diniagakan, susut ketika peniaga menerima ulasan pegawai kanan bank pusat Jepun mengenai kemungkinan mengambil tindakan lebih awal untuk menamatkan kadar faedahnya yang negatif.

Mengulas prestasi ringgit, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unit tempatan itu juga susut berbanding euro dan pound Britain.

"Tumpuan kini kepada data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan diumumkan malam ini. Konsensus ramai menganggarkan bahawa inflasi bagi Ogos berkemungkinan pada paras 3.6 peratus berbanding 3.2 peratus pada Julai lepas.

"Pasaran juga menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah utama pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) minggu depan. Namun, sebarang kenaikan kadar inflasi akan hanya mendorong Fed untuk menaikkan kadar faedah tersebut,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Bahagian Penyelidikan Ekonomi Kumpulan AmBank dalam nota penyelidikan Pendapatan Tetap & FX hari ini berkata dari sudut teknikal, rintangan jangka pendek bagi gandingan dolar AS-ringgit adalah pada 4.710 hingga 4.730 manakala paras sokongan 4.630 hingga 4.640.

Nota penyelidikan itu juga menyifatkan bahawa ringgit berkemungkinan mendapat sokongan daripada harga minyak yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pada jam 6 petang ini, ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.1742/1778 daripada 3.1849/1886 semalam namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.8308/8370 daripada 5.8299/8361 serta susut berbanding euro kepada 5.0200/0254 daripada 5.0131/0184.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang Asean.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0809/1003 daripada 13.1157/1349 pada akhir urus niaga semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia pada 304.3/304.8 daripada 304.7/305.2.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4358/4400 daripada 3.4338/4378 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.25/8.26. - Bernama