Ringgit susut pada sesi awal berbanding dolar AS

Pada jam 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.6420/6480 berbanding dolar AS daripada 4.6330/6370, semalam. - Gambar hiasan
Pada jam 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.6420/6480 berbanding dolar AS daripada 4.6330/6370, semalam. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan aliran kurang memberangsangkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat dengan sentimen lebih berpihak kepada unit negara maju itu berikutan jangkaan naratif kadar faedah yang lebih tinggi dan berpanjangan terus ketara.

Pada jam 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.6420/6480 berbanding dolar AS daripada 4.6330/6370, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harapan untuk melihat penurunan kadar faedah dalam masa terdekat semakin sukar selepas laporan Perubahan Pekerjaan ADP menunjukkan pasaran buruh AS terus kekal berdaya tahan dengan jumlah pekerjaan diwujudkan di sektor swasta meningkat sebanyak 164,000 pada Disember berbanding jangkaan pasaran sebanyak 115,000.

Jumlah tuntutan awal pengangguran AS pula turun kepada 202,000 minggu lepas daripada 220,000 sebelum ini.

Data-data itu hanya meningkatkan lagi nota Perbendaharaan dua dan 10 tahun AS yang menokok masing-masing enam dan lapan mata asas untuk ditutup pada 4.38 peratus dan 4.00 peratus.

"Berikutan itu, ringgit diunjur kekal dalam julat kecil berbanding dolar AS sekitar 4.63 hingga 4.64 susulan hasrat peserta pasaran menunggu pengumuman laporan penggajian dan kadar pengangguran terkini pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8907/8983 daripada 5.8964/9015 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2054/2097 daripada 3.2185/2215.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan itu bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 5.0835/0900 daripada 5.0634/0694 semalam, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2054/2097 daripada 3.2185/2215 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4921/4968 daripada 3.4903/4936 semalam dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.37 daripada 8.33/8.34.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit susut pada 299.6/300.1 daripada 299.0/299.4 dan meningkat berbanding baht Thailand pada 13.4236/4487 daripada 13.4500/4687. - Bernama