18 bayi baru lahir 2024 di Perak terima RM200 SSPN Prime

Saarani menyampaikan tabungan Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM200 kepada ibu bapa bayi baru lahir ketika kunjungannya ke HRPB Ipoh pada Selasa. Foto Yayasan Perak
Saarani menyampaikan tabungan Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM200 kepada ibu bapa bayi baru lahir ketika kunjungannya ke HRPB Ipoh pada Selasa. Foto Yayasan Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 18 bayi bertuah yang baru lahir di Perak menerima hadiah istimewa daripada kerajaan negeri menerusi tabungan Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM200.

Semua bayi berkenaan yang lahir pada 1 Januari 2024 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini layak menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa.

Inisiatif yang digerakkan Yayasan Perak bawah skim Tabung Simpanan Anak Perak (Taspen) itu merupakan sebahagian daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani.

Yayasan Perak dalam kenyataan kepada media memaklumkan, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 bayi kelahiran baharu.

"Setiap RM200 yang disumbangkan disimpan dalam akaun SSPN Prime iaitu satu akaun tabungan direka khusus sebagai akaun tabungan jangka masa panjang dengan kadar pulangan dan kelebihan tertentu yang ditawarkan Perbadanan Tabung Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Sebagai contoh, dengan simpanan berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun, setiap ibu-bapa akan mempunyai tabungan berjumlah hampir RM16,000, berdasarkan kadar pulangan 4 peratus setahun.

"Jumlah ini tentulah akan meningkat jika simpanan setiap bulan itu lebih tinggi daripada RM50," kata kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, sumbangan tersebut telah diwujudkan sejak 2010 dan sehingga tahun lalu, kira-kira RM6.47 juta telah dibelanjakan melibatkan sumbangan kepada 35,351 bayi.

Artikel Berkaitan:

Bagi terus mempromosikan program Taspen ini ke seluruh negeri, Yayasan Perak merancang untuk mengadakan program kesedaran di beberapa hospital daerah yang lain dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

"Menjadi harapan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak agar simpanan permulaan sebanyak RM200 ini terus ditambah sehinggalah anak-anak ini mencapai usia 18 tahun," kata kenyataan itu.