[VIDEO] Gabung sedia bersemuka dengan pemimpin DAP

A
A
A

KUALA LUMPUR – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia (Gabung) bakal menyerahkan memorandum kepada Ibu Pejabat DAP berhubung kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, Gabung yang terdiri daripada 46 pertubuhan juga bersedia bersemuka dengan pimpinan tertinggi parti itu.

“Memorandum yang sama juga akan dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat berhubung isu yang sama,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali; Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad; Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Pengerusi Gabungan NGO Islam (Gabung), Aminuddin Yahaya (duduk, tengah) bercakap dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Chow Kit pada Selasa. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengerusi Gabungan NGO Islam (Gabung), Aminuddin Yahaya (duduk, tengah) bercakap dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Chow Kit pada Selasa. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Jelasnya, tujuan memorandum itu dihantar adalah untuk menghentikan sebarang usaha campur tangan orang bukan Islam terhadap perundangan Islam.

“Meskipun permohonan maaf sudah dibuat oleh Koo Ham terhadap isu itu, kami yakin suatu hari nanti akan bangkit semula isu yang sama kerana ini bukan pertama kali beliau memberi kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap pentadbiran dan agama Islam di negara ini.

“Beliau telah melampui batas dan kali ini dengan jelas memainkan sentiman 3R (agama, bangsa dan institusi raja). Sepatutnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 bagi memberi pengajaran kepada yang lain supaya jangan biadab, sombong dan rasis ketika mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu juga menimbulkan keresahan, kemarahan dan perbalahan antara kaum.

“Gabung menjunjung titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) agara masyarakat bukan Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

“Tiada keperluan untuk lantik bukan Islam dalam jawatankuasa tersebut kerana ia melibatkan hal ehwal Islam,” ujarnya.

Tambahnya lagi, semua pihak mesti memberi kebebasan jawatankuasa menjalankan fungsi dengan bebas tanpa tekanan mana-mana pihak termasuk ahli Parlimen bukan Islam daripada DAP perlu menerima syor-syor daripada jawatankuasa untuk dilaksanakan melalui pindaan undang-undang bersesuaian.

Koo Ham pada Sabtu memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Ahli Parlimen parti DAP itu berkata, dia langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan berkenaan.

Menurutnya, dia menjangkakan jawatankuasa itu akan terlibat dalam cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.