Pas Pahang gesa ambil tindakan terhadap Koo Ham

Andansura (dua dari kiri) bersama Aireroshairi (tengah) membuat laporan polis terhadap Koo Ham di IPD Kuantan pada Sabtu.
Andansura (dua dari kiri) bersama Aireroshairi (tengah) membuat laporan polis terhadap Koo Ham di IPD Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menggesa tindakan sewajarnya diambil ke atas Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berikutan kenyataannya yang keterlaluan dan bersifat provokatif hingga boleh menjejaskan keharmonian antara agama di negara ini.

Ia berikutan cadangannya agar kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, kenyataan pemimpin DAP berkaitan undang-undang syariah dilihat sebagai cubaan pemimpin bukan Islam mencampuri urusan agama Islam di negara ini.

Menurutnya, ia juga seolah-olah menggambarkan perundangan syariah selama ini memberi kesan kepada kepentingan masyarakat bukan Islam.

"Ia berdasarkan kenyataannya (Koo Ham) bahawa langkah itu perlu setelah mendapati tiada orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa tersebut untuk mengambil kira pandangan mereka sebelum sebarang perubahan undang-undang yang memberi kesan kepada kaum dan agama dibuat.

"Ahli Parlimen Beruas itu turut menyebut dalam mengharmonikan undang-undang syariah dan perlembagaan adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan kepada golongan itu serta asas negara tidak terjejas”," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, Pas Pahang kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab itu dan mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pemimpin DAP tersebut.

"Sehubungan itu, laporan polis dibuat pada petang semalam (Sabtu) diwakili Ketua Penerangan Pas Negeri Pahang, Aireroshairi Roslan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu tindakan undang-undang diambil ke atas Ko Ham supaya menjadi peringatan kepada pihak-pihak lain agar tidak mengulangi kenyataan sensitif seumpama itu," ujarnya.