DAP diingatkan tidak main isu sensitif - Puteri UMNO

Nurul Amal
Nurul Amal
A
A
A

HULU TERENGGANU - DAP dingatkan supaya tidak bermain dengan isu sensitif yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian awam, khususnya berkaitan agama, bangsa dan institusi raja (3R).

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pemimpin parti itu sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggoreskan hati mana-mana pihak di negara ini.

"DAP kenalah sensitif... kami daripada UMNO memang tidak suka isu-isu sensitif itu dimainkan.

"Kita kena jaga perasaan sesama sendiri. Kalau boleh elakkan (main isu sensitif) dan tak keluarkan kenyataan boleh goreskan hati mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pembersihan Pasca Banjir Puteri UMNO Malaysia di Pengkalan Ajal, dekat sini Selasa.

Kata Nurul Amal, wakil rakyat ketika ini seharusnya memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat serta kerja-kerja kemasyarakatan dan bukannya melakukan provokasi.

"Jangan lebih-lebih nanti rakyat pun naik muak (timbul provokasi). Kami (Puteri UMNO) berpandangan sudah-sudahlah berpolitik.

"Kurangkan provokasi dan lebihkan kerja untuk membantu rakyat," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam menimbulkan pelbagai reaksi terutama daripada UMNO dan parti pembangkang.

Pada 29 Disember lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian susulan cadangan Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN menggubal undang-undang Islam.