Helah sembunyi syabu dalam tayar ganti tidak menjadi

Fisol (kanan) menunjukkan tayar ganti yang ditoreh untuk memasukkan dadah jenis syabu yang diletakkan di bahagian bawah kenderaan terbabit.
Fisol (kanan) menunjukkan tayar ganti yang ditoreh untuk memasukkan dadah jenis syabu yang diletakkan di bahagian bawah kenderaan terbabit.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat dua warganegara Thailand menyeludup masuk dadah jenis syabu dengan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam tayar ganti kenderaan tidak menjadi apabila berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah pada malam Khamis berjaya merampas 10.6 kilogram (kg) syabu bernilai RM349,800.

Menurutnya, dua suspek lelaki berusia 25 dan 41 tahun ditahan ketika turun dari sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di tepi jalan kawasan Kampung Baru Balai Pos, Jalan Sungai Korok, Ayer Hitam.

Fisol (kanan) menunjukkan bahagian bawah kenderaan tersebut yang menempatkan tayar ganti berisi 10 kilogram syabu.
Fisol (kanan) menunjukkan bahagian bawah kenderaan tersebut yang menempatkan tayar ganti berisi 10 kilogram syabu.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah membuat risikan sekitar jam 11 malam.

“Apabila menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di IPK Kedah pada Selasa.

Fisol berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan digunakan kedua-dua suspek, polis menjumpai bungkusan plastik dalam tayar ganti yang tergantung di bahagian bawah tempat letak barang belakang kenderaan tersebut.

Fisol (dua dari kanan) menyaksikan modus operandi yang dibongkar polis menggunakan tayar ganti.
Fisol (dua dari kanan) menyaksikan modus operandi yang dibongkar polis menggunakan tayar ganti.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tayar berkenaan, terdapat 10 bungkusan plastik berwarna hijau bertulis ‘guanyinwang’ setiap satunya mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang berisi syabu,” ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan penganggur dan ujian saringan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin, namun tiada rekod jenayah lampau.

“Kedua-duanya direman tujuh hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di lokap Balai Polis Jitra untuk siasatan lanjut,” katanya.

Fisol berkata, polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan proaktif memerangi dadah secara berterusan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah ditumpaskan.

“Siasatan risikan secara profesional melalui pelaksanaan operasi terancang dalam membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah memberi impak besar kepada sindiket yang bergerak aktif.

“Polis memerlukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka bagi melumpuhkan rangkaian sindiket dadah dalam negara,” jelasnya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Fisol memaklumkan, sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2023 sebanyak 13,269 kes dan 14,314 tangkapan dilakukan melibatkan pengedar dan penagih dadah.

“Daripada jumlah tersebut, 2,371 kes dan 2,900 tangkapan melibatkan pengedar dadah sementara 10,898 kes dan 11,414 tangkapan melibatkan penagih dadah.

“Ia menunjukkan peningkatan 12.9 peratus bagi kes dan 10.1 peratus bagi tangkapan berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi tahun lalu ialah RM7.27 juta.

“Rampasan dadah tersebut merangkumi dadah jenis ganja sebanyak 292.56 kg, diikuti syabu sebanyak 142.57 kg, heroin (66.57 kg) dan ketamin 0.56 kg.

“Rampasan pil dadah, iaitu pil yaba sebanyak 12,944 biji, pil erimin (5,797 biji), ecstasy (526 biji), serbuk ecstasy (1.60 kg) dan kodein sebanyak 43.77 liter.

“Sementara rampasan daun ketum sebanyak 15,900.85 kg serta air ketum sebanyak 2,879.04 liter,” katanya.