Langkah jejaki 'bos' dadah

Gambar hiasan - Foto: 123RF
Gambar hiasan - Foto: 123RF
A
A
A

LANGKAH tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu dalang atau 'jerung' dadah dalam usaha membanteras jenayah harus diteruskan dengan agresif.

Amat mengejutkan apabila pendedahan polis memaklumkan dalang ini berselindung di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO) dengan gelaran kenamaan.

Perkara ini terbongkar susulan tangkapan 10 lelaki termasuk seorang ketua sindiket dadah bergelar 'Datuk' di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah syabu terbesar di negeri itu sejak 2015.

Lebih mengejutkan, modus operasi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah syabu dari negara jiran untuk diseludup ke pasaran di seluruh Sabah selain Filipina dan Indonesia.

Amat jelas pergerakan sindiket ini sangat 'sistematik' bagi mengaburi pihak berkuasa.

Polis mendedahkan lagi, sindiket ini memiliki pelbagai aset seperti kenderaan mewah, banglo dan 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, sektor pembuatan serta rangkaian restoran.

Berdasarkan kejayaan pembongkaran ini, dapat dilihat dalang yang mewah dan licik ini memainkan peranan dengan berselindung di sebalik aktiviti sah.

Jika dibiarkan, bayangkan apa yang akan terjadi jika sindiket ini terus berleluasa?

Artikel Berkaitan:

Mengikut statistik yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) September lalu, jumlah penagih dadah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus sepanjang Januari hingga Jun lalu, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Statistik menunjukkan sebanyak 118,820 penagih dadah direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 93,534 penagih pada tahun lalu.

Bagi statistik PDRM pula, seramai 4,086 individu termasuk 94 tokan ditahan menerusi Op Tapis Khas selama tiga hari pada November kerana disyaki terbabit pelbagai kesalahan dadah.

Berdasarkan statistik yang dilampirkan ini jelas menunjukkan kegiatan pengedaran dan penagihan sangat membimbangkan.

Tidak mustahil angka ini boleh terus meningkat sekiranya jenayah dadah ini tidak ditangani sebaiknya.

Sememangnya kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa dalang sindiket akan menjadi keutamaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) adalah sebagai langkah yang sangat baik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!