'Jerung' dadah sasaran utama - Ayob Khan

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalang sindiket akan menjadi keutamaan polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah untuk tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tempoh hari mengenai tangkapan dalang di Sabah mempunyai kelainan berbanding operasi sebelum ini.

Menurutnya, jika sebelum ini pihak polis menyasarkan rampasan dengan berat bertan dan nilai berjuta, namun operasi kali ini akan dibuat di bawah Kesalahan Jenayah Terancang dan SOSMA ke atas seluruh anggota sindiket, orang kanan serta dalang.

"Kita akan sasarkan ketua sindiket bagi memastikan isu pengedaran dan penyeludupan dadah dapat diatasi.

"Jika tidak, mungkin kita perlukan masa yang lama untuk selesaikan isu dadah, itulah fokus kita pada sindiket sekarang," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.

Ayob Khan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JPJKK di Pulapol Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ayob Khan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JPJKK di Pulapol Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas mengenai adakah ada dalang dalam kalangan kenamaan berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO), Ayob Khan berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Jelasnya, jika ada perkara menarik, pihak polis akan kongsikan dengan media.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis faham tugas media untuk melaporkan kepada masyarakat, tetapi pada masa sama, media perlu faham bahawa ada benda benda yang kita boleh kongsi dan ada juga yang tak boleh dikongsi kerana bimbang ia boleh jejaskan siasatan dan mengganggu operasi polis," ujarnya.

Dalam serbuan pada Isnin, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan jam 2.45 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu berjaya menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket yang juga penaung sebuah NGO berusia 40 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!