SOSMA buru 'jerung' dadah

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket pengedaran dadah terbabit aktiviti pengubahan wang haram, membuka syarikat, menjalankan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operandi sindiket terbabit sentiasa berubah sehingga menyukarkan PDRM membanteras aktiviti haram berkenaan.

"Susulan itulah PDRM menerusi JSJN mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu sindiket dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Ayob Khan berkata, pihaknya melakukan siasatan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Sebelum ini, kita ada guna SOSMA ke atas aktiviti gengster berkaitan dadah tapi untuk sindiket dadah sahaja, ini kali pertama guna SOSMA bertujuan membanteras dan menangkap ketua sindiket tersebut," katanya.

Ayob Khan mengulas mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah terbesar di Sabah dengan penahanan 10 individu termasuk dalang utama bergelar 'Datuk" yang menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Serbuan jam 2.30 pagi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna, pada Isnin.

Hasil siasatan dijalankan, ahli sindiket itu turut terbabit dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk memiliki rangkaian restoran dan syarikat besar yang menjadi sumber kewangan kepada kumpulan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya melakukan tangkapan dan rampasan yang berterusan sejak Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dikuatkuasakan namun aktiviti pengedaran dadah masih berleluasa.

"Mereka yang kita tangkap adalah penagih dan pengedar dadah, tetapi ketua sindiket memang sukar untuk kita tangkap dan ambil tindakan," katanya.

Ayob Khan berkata, bagi kes mengikut Seksyen 39B ADB, sukar dibuktikan di mahkamah kerana ketua sindiket tidak terbabit secara langsung dalam penyeludupan dan pemilikan dadah.

"Jadi untuk kita buktikan peranan ketua sindiket dalam pengedaran dadah memang sukar.

"Saya berharap pendekatan itu dapat mengambil tindakan terhadap hab dadah secara keseluruhan termasuk ketua sindiket, ahli, pengedar, tempat penyimpanan dan sebagainya," katanya.