Cuaca cerah, penduduk harap banjir segera pulih

Keadaan banjir di Kampung Bendang Pak Yong. Gambar kecil dari kiri: Nor Syuhada, Khadijah
Keadaan banjir di Kampung Bendang Pak Yong. Gambar kecil dari kiri: Nor Syuhada, Khadijah
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di Mukim Bendang Pak Yong, Tumpat berharap keadaan cuaca panas sejak Ahad berterusan supaya banjir di kawasan itu segera pulih.

Seorang ejen insurans, Nor Syuhada Latiff, 29, berkata, hujan lebat dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh menyebabkan banjir di kampung itu mencecah paras semeter pada Rabu lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kawasan kampung itu bertukar menjadi 'bendang' dan walaupun cuaca dalam keadaan baik ketika ini, namun jalan-jalan masih tidak dapat dilalui penduduk.

Cuaca cerah bantu segera pulih keadaan banjir.
Cuaca cerah bantu segera pulih keadaan banjir.

“Bahagian dapur rumah saya tenggelam hingga 0.7 meter, namun sudah surut dan kerja-kerja membersihkan dapur sudah dilakukan.

“Air masih ada di kawasan kampung dan laluan pada paras 0.4 meter tetapi belum boleh dilalui oleh kenderaan seperti kereta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau turut mengharapkan banjir gelombang ketiga yang berlaku itu adalah yang terakhir dan berharap tiada kejadian banjir lagi selepas ini kerana mengakui penat berdepan situasi tersebut apabila terpaksa memunggah barangan rumah bagi mengelak kerosakan.

“Biasanya, banjir habis setakat tiga gelombang sahaja dan semoga tidak berlaku banjir lagi untuk musim MTL kali ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pembuat kuih, Khadijah Omar, 53, berkata, banjir telah menyebabkan beliau tidak dapat membuat kuih untuk tempahan pelanggan kerana laluan-laluan kampung yang ditenggelami air.

Beliau yang sudah lebih 20 tahun berniaga pelbagai jenis kuih tradisional seperti tepung pelita, cendol dan roti goreng terpaksa menolak tempahan akibat musibah tersebut.

Bot yang digunakan penduduk sebagai pengangkutan sementara pada musim banjir.
Bot yang digunakan penduduk sebagai pengangkutan sementara pada musim banjir.

“Kuih-muih ini saya hantar di sekitar Tumpat tetapi akibat banjir ini sudah menolak tempahan lebih awal dan tidak berniaga sejak tiga minggu lalu.

“Kuih-muih sukar untuk dibawa kerana hanya bot digunakan untuk pengangkutan sementara ketika ini dan jika keadaan banjir pulih, dapatlah saya kembali berniaga,” katanya.

Selain Kampung Bendang Pak Yong, kampung-kampung lain terlibat banjir di mukim berkenaan termasuklah Kampung Kuala Jambu, Kok Beluru, Atas Kok, Kubang Sawa, Derdap, Jejulok, Palas Merah dan Naga Ibu menjejaskan kira-kira 5,000 penduduk.