Banjir di Sik surut, cuaca cerah

Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semalam masih beroperasi. - Gambar hiasan
Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semalam masih beroperasi. - Gambar hiasan
A
A
A

SIK - Keadaan banjir yang melanda di daerah Sik akibat hujan lebat beberapa jam sejak 4 petang semalam, semakin pulih.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, air juga telah surut namun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semalam masih beroperasi.

"Hujan sudah berhenti tengah malam tadi dan cuaca pagi ini cerah di semua kawasan di daerah ini.

"PPS masih beroperasi namun mangsa banjir yang berada di ketiga-tiga PPS pulang ke rumah pagi ini untuk membersihkan rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, Markas Pas Tanjung Belit dan Surau Kampung Belimbing adalah seramai 60 orang membabitkan 20 keluarga.

Sebelum ini, kira-kira lapan kampung di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun di hampir semua kawasan di daerah ini sejak 4 petang semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: