Dua keluarga berdepan detik cemas, rumah ditimpa tanah runtuh

Ibrahim menunjukkan keadaan tanah runtuh di belakang rumahnya di Felda Neram 2, Kemaman, pada Isnin. - Foto Bernama
Ibrahim menunjukkan keadaan tanah runtuh di belakang rumahnya di Felda Neram 2, Kemaman, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Dua keluarga di Felda Neram 2, di sini berdepan detik cemas apabila tanah di belakang rumah mereka runtuh secara tiba-tiba.

Mangsa, Wan Mohammad Ubaidillah Wan Mohamed, 22, berkata, kejadian berlaku kira-kira 12 tengah malam pada Sabtu lalu, ketika beliau dan sepupunya Mohd Saiful Bahari Ismail, 31, sedang nyenyak tidur.

Katanya, pada awalnya dia terdengar bunyi bising daripada bumbung rumah seperti atap pecah dan selepas diperiksa, didapati seluruh dapur rumahnya telah runtuh dan sepupunya di bilik berhampiran dapur juga sudah terjaga dan hampir dihempap dinding yang turut roboh.

"Kami terus keluar menyelamatkan diri. Bahagian dapur, bilik air dan dua bilik tidur serta perabot di dalamnya habis musnah...hanya ruang tamu sahaja dan sebuah bilik yang tinggal,” katanya ketika ditemui di Felda Neram 2 di sini pada Isnin.

Muhammad Ubaidillah (kiri) bersama sepupunya Mohd Saiful Bahari Ismail, 31, meninjau kerosakan rumah akibat tanah runtuh di Felda Neram 2, Kemaman, pada Isnin. - Foto Bernama
Muhammad Ubaidillah (kiri) bersama sepupunya Mohd Saiful Bahari Ismail, 31, meninjau kerosakan rumah akibat tanah runtuh di Felda Neram 2, Kemaman, pada Isnin. - Foto Bernama

Wan Mohammad Ubaidillah berkata ,kejadian itu menyebabkan dia kerugian lebih RM50,000 termasuk kerosakan rumah, perabot dan peralatan elektrik.

Katanya, rumah milik ibu bapanya itu telah lama kosong dan baru diduduki setahun lalu selepas dibaiki dan kini beliau menumpang rumah jirannya, kerana rumah itu telah 80 peratus musnah dan kawasan itu juga tidak lagi selamat untuk diduduki.

Seorang lagi mangsa, Ibrahim Awang, 67, berkata, ketika kejadian dia bersama sembilan lagi anggota keluarga termasuk seorang menantu yang dalam pantang, sedang tidur di bilik dan ruang tamu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah dapur, yang disangkakan berpunca daripada gajah liar.

"Saya terus bangun dan periksa belakang rumah. Alangkah terkejutnya apabila lihat tanah runtuh dan kebun belakang rumah pun dah musnah tertimbus tanah.

"Saya terus kejutkan isteri dan ahli keluarga termasuk menantu yang berpantang. Waktu itu memang tak fikir apa, hanya fikirkan keselamatan diri, lebih-lebih lagi cucu saya yang baru berusia 20 hari,” katanya.

Keadaan rumah milik keluarga Muhammad Ubaidillah yang rosak akibat tanah runtuh di Felda Neram 2, Kemaman. - Foto Bernama
Keadaan rumah milik keluarga Muhammad Ubaidillah yang rosak akibat tanah runtuh di Felda Neram 2, Kemaman. - Foto Bernama

Ibrahim berkata, walaupun rumahnya tidak mengalami kerosakan, beliau sekeluarga terpaksa berpindah kerana kawasan tersebut sudah tidak selamat didiami.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Bencana Negeri, menyediakan peruntukan RM140,000 bagi membina rumah baharu untuk dua keluarga tersebut dan telah meminta Felda mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina semula rumah kedua-dua mangsa. - Bernama