Lat tempoh masih berkuat kuasa, SPR tidak rancang laksana kajian semula persempadanan

Tangkap layar kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin (kiri), Abdul Ghani
Tangkap layar kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin (kiri), Abdul Ghani
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah berikutan lat tempoh lapan tahun kajian yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya juga sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut di Sarawak.

“Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri serta disiarkan suatu notis seperti diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

“Kajian persempadanan semula sedia ada ini hanya boleh dibuat selepas tamat lat tempoh dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi maksud tersebut, kajian semula persempadanan terdahulu bagi Semenanjung Malaysia selesai dijalankan pada 2018 manakala Sarawak dan Sabah pula masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, proses kajian persempadanan semula oleh SPR di Sarawak bermula tahun ini manakala di Sabah pada 2025 manakala di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Beliau berkata, bagi melaksanakan proses berkenaan, SPR akan membuat kajian dalam tempoh dua tahun dan selepas tempoh tersebut, satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Abdul Ghani, prinsip persempadanan itu meliputi kewajaran untuk memudahkan semua pemilih diberi peluang keluar mengundi dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ia mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya untuk mengadakan jentera bagi pendaftaran dan pengundian.

“Prinsip lain apabila bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan yang dihadapi di luar bandar patut diberi pertimbangan.

“Terakhir ialah perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” ujarnya.