Ten Hag bengang United kalah

Ten Hag - Foto AFP
Ten Hag - Foto AFP
A
A
A

JURULATIH Manchester United, Erik ten Hag bengang dengan prestasi para pemain selepas mengalami kekalahan memalukan kepada Nottingham Forest 1-2 di laman lawan awal pagi Ahad.

Kekalahan itu menyaksikan keputusan terburuk The Red Devils sejak 1930 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ia mengecewakan. Kekalahan tidak sepatutnya berlaku. Kami tidak cukup bertenaga dan kurang melakukan percubaan," kata Ten Hag.

Jurulatih berusia 53 tahun itu membidas anak-anak buahnya yang longlai pada babak pertama apabila mereka hanya melakukan satu percubaan.

Ia bertambah parah selepas rehat apabila Nicolas Dominguez meletakkan Forest di depan.

Marcus Rashford kemudian menyamakan kedudukan, tetapi gol lewat Morgan Gibbs-White menyebabkan United mengalami kekalahan keempat dalam enam perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

"Kami patut mencipta lebih banyak peluang pada babak pertama, tetapi ia tidak berlaku. Pada separuh masa kedua kami bertindak lebih bagus.

"Keputusan ini di bawah tahap sebenar kami. Pemain tidak gembira, tetapi kami perlu melakukan lebih baik lagi," ujar Ten Hag.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan itu menyaksikan United tewas sembilan daripada 20 aksi liga pertama mereka buat kali pertama sejak musim 1989/1990.

Ia kekalahan ke-14 dalam semua pertandingan buat pasukan tangga ketujuh United musim ini – kali terakhir mereka kalah lebih banyak menjelang tahun baharu adalah pada musim 1930/1931.