Waris pekerja penyelenggara lif terima faedah caruman PERKESO

Steven Sim (dua dari kanan) dan Rafidah (kanan) ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman keluarga mendiang,
R Tinesh Kumar di Taman Sri Pinang bagi menyampaikan faedah PERKESO.
Steven Sim (dua dari kanan) dan Rafidah (kanan) ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman keluarga mendiang, R Tinesh Kumar di Taman Sri Pinang bagi menyampaikan faedah PERKESO.
A
A
A

GEORGE TOWN - Nasib keluarga pekerja teknikal yang maut ketika menyelenggara lif di sebuah pusat membeli belah di Jalan Burmah di sini, pada Selasa lalu terbela dengan mendapat dua faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, waris kepada mendiang R Tinesh Kumar layak waris menerima faedah caruman PERKESO menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menurutnya, disebabkan mangsa yang berusia 28 tahun itu belum mendirikan rumah tangga membolehkan faedah berkenaan akan diberikan kepada ibu dan bapanya, yang masing-masing berusia 51 serta 54 tahun.

“Semakan rekod caruman melayakkan waris mendiang R Tinesh untuk menerima bayaran berkala Faedah Orang Tanggungan (FOT), selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 secara sekali bayar.

“Kedua-dua ibu dan bapa mendiang, R Saraswathi serta K Ramachandran akan menerima bayaran FOT untuk sepanjang hayat," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman keluarga mendiang, di Taman Sri Pinang, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang pekerja penyelenggara maut selepas kepalanya tersepit ketika menyelenggara sebuah lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah di sini pada petang Selasa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, mangsa yang dikenali sebagai R Tinesh Kumar, 28, maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi pekerja penyelenggaraan sedang membaiki lif di kompleks berkenaan.

Sementata itu, dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim memaklumkan, PERKESO turut menyerahkan FOT dan FPM kepada waris keluarga pekerja kilang yang meninggal dunia rentetan insiden di tempat kerja, di Banting, pada Rabu lalu.

Katanya, penelitian PERKESO terhadap kes kemalangan menyayat hati menimpa Nur Ahmad Yusoff Muei, mendapati pemuda berusia 22 tahun itu melapor diri sebagai pekerja sepenuh masa di sebuah kilang plastik pada 12 Disember lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, Nur Ahmad Yusoff yang mempunyai rekod caruman dan dilindungi menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dilaporkan terjatuh dari ketinggian lebih 24 meter ketika melaksanakan kerja pembersihan.

“Sehubungan itu, balu arwah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan layak menerima FOT dan FPM daripada PERKESO.

“Bayaran berkala FOT ini akan diberikan kepada isteri arwah untuk sepanjang hayatnya, manakala bayi dalam kandungan pula layak menerima manfaat sama selepas dilahirkan dan sehingga mencapai usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!