Penguatkuasa Kesihatan Kelantan kesan individu ingkar larangan merokok

Zaini (kiri) mengedarkan risalah di samping memberi penerangan berkaitan penguatkuasaan larangan merokok.
Zaini (kiri) mengedarkan risalah di samping memberi penerangan berkaitan penguatkuasaan larangan merokok.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 200 penguatkuasa Jabatan Kesihatan Kelantan digerakkan bagi memastikan orang ramai dan pemilik premis mematuhi penguatkuasaan larangan merokok yang bermula hari ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan akan dijalankan secara berkala di seluruh negeri supaya premis makan bebas dari asap rokok.

Menurutnya, dalam tempoh setahun sebelum ini pun pihaknya telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai penguatkuasaan larangan tersebut.

“Nilai kompaun bukan menjadi objektif utama kita, yang penting masyarakat sedar dan memberi kerjasama kepada kerajaan dalam menjalankan penguatkuasaan ini,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menjalankan pemeriksaan di Ayang Cafe dekat sini dan turut mengagihkan risalah kesedaran larangan merokok kepada pelanggannya di sini.

Zaini berkata, pada tahun lalu, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di 10,000 premis makanan di negeri ini untuk memberikan kesedaran selain memastikan pemiliknya mempamerkan tanda larangan merokok.

Katanya, sepanjang tahun 2019 juga sebanyak 3,392 notis amaran telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang tidak menampal tanda larangan merokok.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat dapat memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tempat makan bebas dari asap rokok bagi melindungi orang ramai dari bahayanya.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan larangan ini juga boleh menyalurkan kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan segera,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian sebelum ketibaan penguatkuasa Jabatan Kesihatan juga, mendapati tiada individu yang merokok di dalam premis terbabit dan terdapat papan tanda larangan diletakkan.

Sementara itu, Pemilik Ayang Cafe, Nor Hazelizen Mamat berkata, sebelum ini pun dia sudah menasihatkan pelanggan untuk mematuhi peraturan untuk tidak merokok di dalam premisnya.

“Demi kebaikan bersama, saya dan juga pelanggan, saya kena bertegas dalam soal ini dan alhamdulillah setakat hari ini tidak ada masalah yang berlaku,” katanya.

Bermula hari ini Penguatkuasaan Larangan Merokok (termasuk rokok elektronik dan shisha) di tempat makan dikuatkuasakan sepenuhnya di bawah Peraturan 11 (1) (d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaaan 2018).