Amalkan semula SOP cegah Covid-19 - Pakar kesihatan

Segelintir orang ramai mula memakai pelitup muka ketika berada di kawasan awam berikutan kes Covid-19 kembali meningkat semasa tinjauan di Bukit Bintang pada Jumaat. - Foto Bernama
Segelintir orang ramai mula memakai pelitup muka ketika berada di kawasan awam berikutan kes Covid-19 kembali meningkat semasa tinjauan di Bukit Bintang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun jangkitan Covid-19 di negara ini masih terkawal, rakyat disaran mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan virus itu.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Universiti Antarabangsa Perubatan (IMU), Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, ini kerana rakyat harus terus 'hidup' bersama Covid-19 memandangkan tiada sebarang tanda virus itu akan lenyap dari muka bumi ini.

"Covid-19 berada dalam keadaan endemik. Ini bermakna ia sentiasa ada dalam persekitaran dan sentiasa bermutasi,” kata Felo Akademi Sains Malaysia itu kepada Bernama.

Meskipun fasa peralihan endemik di Malaysia bermula pada 1 April tahun lepas, Dr Lokman Hakim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan turut menggalakkan orang ramai khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mengambil suntikan dos penggalak vaksin dalam usaha mencegah Covid-19.

"Digalakkan bagi mereka untuk mengambil semula suntikan booster sekiranya kali terakhir pengambilannya melebihi tempoh setahun lalu," katanya merujuk kepada golongan berisiko tinggi antaranya warga emas dan penghidap penyakit kronik seperti kanser.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata, situasi kekal terkawal dengan kebanyakan kes dilaporkan melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital selain tiada varian baharu Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman juga berkata, pemakaian pelitup muka adalah sangat digalakkan terutama setiap kali keluar ke tempat awam atau tempat yang sesak.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan sanitizer juga digalakkan di samping terus cakna dengan kebersihan tangan,” katanya.

Beliau juga berpendapat besar kemungkinan peningkatan jangkitan Covid-19 disebabkan oleh perubahan varian virus semasa serta penurunan antibodi dalam kalangan masyarakat terhadap jangkitan itu.

"Ia merupakan pola semula jadi seperti juga jangkitan-jangkitan yang berlaku sebelum ini. Selepas sesuatu sela masa biasanya akan berlaku perubahan molekul pada virus sehingga menyebabkan ia berubah menjadi strain baharu yang berupaya mengakibatkan jangkitan terhadap individu yang belum mempunyai antibodi terhadapnya.

"Situasi semasa yang tidak mempunyai sebarang sekatan sosial, dengan individu bebas ke mana-mana termasuk luar negara, juga menyebabkan jangkitan mudah tersebar,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata, pemakaian pelitup muka juga boleh membantu masyarakat melindungi diri daripada jangkitan virus melalui saluran pernafasan, selain itu Covid-19 mudah berjangkit berikutan negara ini yang sedang mengalami musim hujan serta lembap.

"Penyakit seperti demam dan selesema termasuk Covid-19 senang berlaku (apabila hujan dan lembap). Oleh itu, bagi langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan elak melawat kawasan sesak, pakai pelitup muka dan sering menggunakan hand sanitizer seperti dulu," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya masyarakat melengkapkan pengambilan suntikan vaksinasi Covid-19 dalam usaha membendung daripada dijangkiti wabak itu terutamanya dalam kalangan warga emas dan penghidap penyakit yang kronik. - Bernama