Perokok 'panas hati' terima kompaun

Lelaki berusia 50-an yang panas hati apabila diberikan notis kompaun ketika operasi penguatkuasaan di tempat makan dilarang merokok yang diketuai Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong di Bukit Baru, di sini, hari ini.
Lelaki berusia 50-an yang panas hati apabila diberikan notis kompaun ketika operasi penguatkuasaan di tempat makan dilarang merokok yang diketuai Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong di Bukit Baru, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Saya panas hati, janganlah letak meja makan di luar premis, jadi tak adalah orang merokok di sini. Kalau begini, larang terus penjualan rokok," kata seorang perokok tegar yang tidak berpuas hati dikenakan sebanyak kompaun RM250.

Perokok berusia 50-an itu didapati merokok di sebuah medan selera ketika operasi penguatkuasaan di tempat makan yang diketuai Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Chee Leong berkata, alasan itu selalu digunakan perokok walaupun Jabatan Kesihatan Negeri termasuk kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) giat melaksanakan kempen sejak tahun lalu.

Menurutnya, kempen membabitkan sebanyak 35,957 risalah yang telah diedarkan kepada orang awam di sekitar Melaka selain makluman jarak merokok tiga meter bermula dari meja terakhir di kedai makan berkenaan.

Katanya, selain itu sebanyak 3,072 notis kompaun di bawah Seksyen 32(B) dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Yong Shen
Yong Shen

"Kita juga kesal apabila pemilik kedai makan meletakkan notis larangan merokok di premis mereka tetapi tetap membenarkan perokok merokok dalam premis," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Dalam pada itu, Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Laksmana berkata, daripada 154 premis yang diperiksa hari ini, sebanyak sepuluh notis kompaun telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Enam kompaun dikeluarkan di Melaka Tengah, tiga di Jasin dan satu di Alor Gajah pada operasi yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang ini," katanya.

Pelanggan kedai makan, Tan Yong Shen, 28, menyambut baik usaha kerajaan yang banyak membawa kesan positif kepada kehidupan masyarakat.

Katanya, merokok di tempat awam akan memberi impak negatif kepada perokok dari segi kesihatan malah orang lain yang turut menghidu asap rokok turut akan mengalami masalah kesihatan.

"Biarlah kuatkuasa ini dibuat lebih tegas lagi dan secara lebih meluas, kerana saya yakin ramai yang suka tempat makan tidak dicemari asap rokok," katanya.

Sementara itu bagi pemilik premis makan, Tan Peng Voon, 46, memandang serius jika pelanggan merokok dalam kawasan premis dan akan menegur mereka.

"Sebenarnya pelanggan lebih suka menikmati hidangan dalam suasana bebas rokok, jika ada yang merokok di kawasan premis saya akan tegur secara baik.

"Ada yang boleh terima dengan teguran itu namun ada juga yang tidak suka bila ditegur tidak boleh merokok, di kawasan ini," katanya.