Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai

Operasi mencari remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai dilakukan di pesisir Pantai Batu Sapi, Sandakan.
Operasi mencari remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai dilakukan di pesisir Pantai Batu Sapi, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Aktiviti sekumpulan remaja beriadah di pantai berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai Batu Sapi, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Mohd Amiruddin Juhardin, 16, dikatakan sedang mandi bersama kira-kira lima lagi rakannya sebelum disedari hilang akibat dibawa arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus@Mohd Nizam Sainkui berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 petang.

Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer dari BBP Sandakan.

"Menurut pengadu, mangsa melakukan aktiviti bermandi-manda di laut bersama rakan-rakannya tetapi disedari hilang selepas tidak bersama mereka.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba segera mendapatkan maklumat dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sepanjang persisiran pantai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Jumaat.

Severinus berkata, mangsa gagal ditemui dan operasi SAR terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula pada Sabtu.

"Operasi ditangguhkan pada jam 8.30 malam dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan: