SAR remaja dikhuatiri lemas di Teluk Senangin disambung esok

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Senangin, Lumut ditangguhkan hari ini dan akan disambung esok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi mencari Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, yang bermula 10.45 pagi ditangguhkan pada 6.30 petang tadi.

"Pencarian awal dilakukan di kawasan pesisir pantai dan kemudian kita (pasukan SAR) memasang pukat sepanjang 100 meter di kawasan mangsa jatuh bagi memudahkan usaha mengesan mangsa.

"Pasukan SAR turut menggunakan kaedah pencarian di permukaan menggunakan bot selain penggunaan dron di kawasan pesisir pantai terbabit dan kita turut kekalkan pos kawalan bomba untuk membuat pemantauan pesisir pantai pada waktu malam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi tadi berhubung kehilangan Muhammad Fahmi Hafizi.

Sabarodzi berkata, operasi menyelamat pada sebelah petang tadi turut dilakukan mengikut sektor sejauh satu batu nautika bagi setiap sektor kawasan yang dibuka.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pencarian di bahagian benteng, sektor tengah melibatkan Pasukan Polis Marin manakala bahagian teluk oleh bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: