Kerajaan ambil tindakan segera masalah bekalan air, elektrik di SRIDI

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan mengambil langkah segera agar masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di sini hari ini tidak berulang pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan kini sedang diambil dan menegaskan sesi persekolahan tidak akan terganggu.

"Kita mengambil langkah supaya perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan dengan kapasiti yang kita ada. Tiada siapa yang boleh kata mereka memerintah dengan sempurna tentu ada kelemahan-kelemahannya. Tapi kelemahan itu yang perlu penambahbaikan.

"Kami cuba yang terbaik untuk memastikan aspek keselamatan dan sesi pembelajaran dalam keadaan terbaik," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem i-Direktori Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kekecohan apabila SRIDI Wakaf Mempelam di sini tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik semasa hari pertama sesi persekolahan hari ini.

Sementara itu, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat mengakui berlaku masalah bekalan air dan elektrik di sekolah itu dan tindakan sudah diambil.

"Benar, hari ini memang tiada bekalan air dan elektrik tetapi dakwaan kata tiada kerusi, meja itu tidak benar. SRIDI sudah ada sembilan buah di Terengganu namun SRIDI Wakaf Mempelam baharu sahaja berpindah kerana sebelum ini menumpang di bangunan YIT (Yayasan Islam Terengganu).

"Apabila YIT nak gunakan bangunan tersebut, keputusan lewat sedikit untuk berpindah dan urusan untuk ubah suai bangunan itu di bawah JKR (Jabatan Kerja Raya). Mungkin ada perkara-perkara teknikal di luar kawalan kita.

Artikel Berkaitan:

"Meja dan kerusi ada tetapi dalam kelas di tingkat atas manakala tingkat bawah adalah surau dan memandangkan ia adalah hari pertama dan ada taklimat, mereka ditempatkan di tingkat bawah. Kita sudah ambil tindakan dan saya rasa isu yang berbangkit boleh diselesaikan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:'Panas' bila sekolah tiada air, elektrik