'Panas' bila sekolah tiada air, elektrik

Murid-murid yang ditempatkan di surau sekolah.
Murid-murid yang ditempatkan di surau sekolah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di sini 'panas' apabila ibu bapa menyuarakan rasa tidak berpuas hati kerana sekolah berkenaan tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Keadaan itu menyebabkan 110 murid sekolah itu berhimpun dalam kelas yang panas dan gelap kerana kurang pencahayaan berikutan ketiadaan bekalan elektrik.

Seorang ibu, Norlidawahi Wahab, 50, berkata, dia kecewa kerana pihak berkenaan gagal menyediakan kemudahan asas sepatutnya terutama aspek keselamatan murid.

"Boleh lihat sendiri keadaan sekolah ini. Hari ini murid dah mula bersekolah di lokasi baru, tapi tiada kemudahan elektrik dan air. Bagaimana murid mahu belajar dalam keadaan kelas yang panas kerana tiada bekalan elektrik dan air untuk ke tandas?

"Kedudukan sekolah pula bersebelahan Pasar Chabang Tiga, menjadikan suasana pembelajaran tidak kondusif kerana faktor kebersihan," katanya yang menghantar anak belajar di tahun tiga di situ.

Murid-murid mengikuti sesi pengenalan sewaktu hari pertama persekolahan.
Murid-murid mengikuti sesi pengenalan sewaktu hari pertama persekolahan.

Mohd Khairul Khahar Ismail, 36, pula terkejut apabila melihat ciri keselamatan di sekolah itu yang longgar.

"Kawasan sekolah ini terletak berhampiran sungai dan jalan raya tetapi tiada khidmat pengawal keselamatan atau pagar yang dipasang untuk memastikan keselamatan murid. Sesiapa saja bebas keluar masuk ke kelas terutama ketika ketiadaan guru dan ia menyebabkan ibu bapa bimbang keselamatan anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Toh Puan Aida Tengah berkata, sesi persekolahan SRIDI Wakaf Mempelam akan ditangguhkan sehingga Ahad sehingga isu kemudahan asas di bangunan itu selesai.

SRIDI ditubuhkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2018 oleh Kerajaan Terengganu, termasuk dengan mengambil alih Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu daripada Yayasan Islam Terengganu untuk diuruskan oleh JHEAT.